KUALA TERENGGANU 5 Feb - Seorang pencipta kandungan (content creator) YouTube memanfaatkan sepenuhnya pendapatan yang diperoleh untuk melabur dalam bidang perniagaan demi masa depan yang lebih baik.
Nur Nadhirah Rosdi, anak jati Kuala Terenganu membuka sebuah kafe dengan menggunakan wang simpanan sendiri sebanyak RM50,000 kerana yakin dengan potensi perniagaan makanan dalam menjana lebih banyak pendapatan.
"Sebelum ini banyak tohmahan dilemparkan kepada YouTuber terutama yang berkongsi bakat permainan video kononnya hanya membuang masa, tiada masa depan dan melekakan.
"Alhamdulillah, dengan pembukaan kafe ini, secara tidak langsung saya juga telah membuktikan persepsi orang ramai kononnya 'content creator' hanyalah satu pekerjaan yang sia-sia adalah tidak benar.
"Jika kita bijak merencana strategi, pasti ada manfaatnya terutama dalam menggunakan pengaruh nama yang telah ada untuk perniagaan dan kebanyakan pelanggan yang datang ke kafe ini juga adalah pengikut saya di YouTube," katanya kepada DagangNews.com.
Drah Eyra Cafe miliknya yang terletak di Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini mula beroperasi sejak November 2023 dan menawarkan pelbagai jenis menu Barat, kek dan pastri.
Beliau mula berkongsi bakatnya yang mahir dalam permainan video di YouTube dengan akaun Drah_Eyra sejak empat tahun lalu.
Setakat ini, saluran Youtube miliknya itu mempunyai lebih 594,000 'subscriber' serta meraih jumlah lebih 103.52 juta tontonan untuk keseluruhan video terbitannya.
Mengulas lanjut, Nur Nadhirah berkata, dia bersyukur kerana ramai pelanggan menzahirkan sokongan dan berharap anak kecil mereka dapat menjadikannya sebagai inspirasi dalam bidang perniagaan.
"Tak dinafikan kebanyakan pelanggan kafe saya adalah murid sekolah rendah yang datang bersama keluarga dan pembukaan kafe ini juga adalah satu bentuk penghargaan untuk sesi 'meet and greet' bersama peminat.
"Saya sendiri sentiasa menekankan kepada mereka agar mengutamakan pelajaran kerana ia perlu bergerak seiring dengan bakat dan kemahiran yang ada untuk masa depan yang lebih baik," katanya yang mempunyai empat orang pekerja ketika ini.
Beliau juga berharap kejayaan kecilnya itu dapat dijadikan motivasi kepada pempengaruh media sosial yang lain agar menjadikannya sebagai lubuk rezeki dan melaburkannya semula dalam bidang perniagaan atau instrumen yang lain.
"Banyak pelaburan yang boleh dijadikan pendapatan pasif dalam jangka masa panjang. Abaikan kecaman orang ramai dan fokus sahaja kepada impian yang ada untuk direalisasikan," katanya. - DagangNews.com