Pendaftaran Geran Khas Prihatin 4.0 dibuka mulai 15 hingga 31 Julai | DagangNews Skip to main content

Pendaftaran Geran Khas Prihatin 4.0 dibuka mulai 15 hingga 31 Julai

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Julai - Tempoh pendaftaran Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 akan dibuka mulai 15 hingga 31 Julai 2021 untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang tidak pernah menerima bantuan itu sebelum ini.

 

Pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian melalui Portal GKP, iaitu https://gkp.hasil.gov.my

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dengan adanya proses pendaftaran baharu ini, sebahagian daripada kalangan PKS mikro yang tidak lulus dan belum menerima GKP masih diberi ruang untuk mengemukakan permohonan bagi pengesahan semula. 

 

“PKS mikro yang layak untuk GKP 4.0 adalah perniagaan yang menepati kriteria PKS mikro dan juga berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) setakat 30 Jun 2021. 

 

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

 

“Untuk maklumat lanjut, pemohon GKP boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang telah dimuat naik di portal rasmi GKP,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

GKP 4.0 diteruskan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan pada 28 Jun 2021.

 

Bantuan itu bertujuan meringankan beban kewangan PKS mikro agar mereka mampu mengharungi tempoh yang masih mencabar ketika ini. 

 

Peruntukan GKP 4.0 ialah sebanyak RM1 bilion di mana bayaran akan dibuat pada bulan September 2021 (RM500) dan November 2021 (RM500) melibatkan penerima GKP sedia ada dan juga pemohon yang baharu diluluskan.

 

Tambah Tengku Zafrul, penerima GKP sedia ada tidak perlu membuat sebarang permohonan.

 

“Secara keseluruhan, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada hampir 1 juta PKS mikro di bawah GKP semenjak COVID-19 melanda negara adalah RM6.1 bilion. 

 

“Kerajaan berharap agar bantuan langsung berterusan yang disalurkan kepada PKS mikro ini akan meringankan beban mereka, terutamanya perniagaan yang masih tidak dibenarkan beroperasi pada ketika ini,” ujarnya lanjut. - DagangNews.com