Pendaftaran Pikas secara 'online' percepat vaksinasi sektor pembuatan | DagangNews Skip to main content

Pendaftaran Pikas secara 'online' percepat vaksinasi sektor pembuatan

Datuk Lim Ban Hong. Kredit gambar Bernama

Datuk Lim Ban Hong.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Julai - Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) bagi sektor pembuatan dipercepatkan dengan pelaksanaan pendaftaran secara dalam talian di pautan http://pikas.miti.gov.my.

 

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong berkata, program yang diperkenalkan kementeriannya itu mendapat sambutan yang amat tinggi dan telah membantu menyokong mempercepatkan kadar vaksinasi rakyat Malaysia.

 

"Pikas memainkan peranan yang amat penting dalam memberi keyakinan kepada pekerja di dalam sektor pembuatan untuk berasa selamat ke tempat kerja.

 

"Program ini juga adalah langkah pragmatik untuk meningkatkan semula produktiviti syarikat dalam kita menyesuaikan hidup bersama pandemik ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

MITI turut menyarankan syarikat-syarikat yang menghantar maklumat melalui emel sebelum ini untuk memasukkan maklumat syarikat ke sistem dalam talian Pikas.

 

Langkah tersebut bertujuan agar maklumat berkenaan lengkap bagi tujuan penyelarasan dan pemprosesan.

 

Hingga semalam, sebanyak 10,522 syarikat melibatkan 903,244 orang pekerja di seluruh negara telah mendaftar di dalam Pikas. 

 

Daripada jumlah itu, 101,117 telah menerima dos pertama vaksinasi.

 

Bagi tempoh sama juga, sebanyak 19 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pikas telah memulakan operasi di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu.

 

MITI dengan kerjasama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) sedang melipatgandakan usaha untuk menambah bilangan PPV PIKAS sedia ada bagi meningkatkan pemberian vaksin di kalangan tenaga kerja dalam sektor pembuatan di Malaysia.

 

Pikas yang dilancarkan pada 16 Jun 2021 merupakan sebuah kolaborasi strategik seumpamanya di antara pihak awam dan swasta yang berfokus untuk mempercepatkan vaksinasi dalam kalangan pekerja di dalam sektor pembuatan. - DagangNews.com