Pendapatan 2Q21 Coway melonjak kepada RM3.34 bilion | DagangNews Skip to main content

Pendapatan 2Q21 Coway melonjak kepada RM3.34 bilion

Coway Co. Ltd.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Syarikat penyedia perkakasan rumah terkenal, Coway Co. Ltd.  (Coway) mencatatkan lonjakan pendapatan sebanyak 12.4% berbanding tahun sebelumnya kepada sekitar RM3.34 bilion (KRW905.4 bilion) bagi suku kedua 2021.

 

Jumlah pendapatan yang dicapai itu meningkat 3.0% berbanding suku sebelumnya.

 

Ketua Pegawai Kewangan Coway, Soon Tae Kim berkata, prestasi yang ditonjolkan itu menjadikannya suku tahun yang paling berjaya dalam sejarah Coway. 

 

"Kami telah mencapai prestasi yang mantap hasil daripada pelancaran produk inovatif secara berterusan dan juga pertumbuhan subsidiari-subsidiari luar negara biarpun dengan cabaran daripada pandemik COVID-19 ini.

 

"Kini, kami merancang untuk terus meningkatkan profil kami dalam pasaran global dan mencari cara baharu untuk meningkatkan daya saing serta pertumbuhan perniagaan kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Jualan perkakas rumah di peringkat domestik juga mencatatkan rekod baharu dengan pendapatan sebanyak RM2.06 bilion (KRW 558.9 bilion). 

 

Pendapatan keseluruhan syarikat tersebut bagi suku kedua 2021 dipacu hebat oleh barisan produk baharu seperti Penulen Air Icon dan Pembersih Udara Noble. 

 

;

 

Syarikat subsidiari luar negara melaporkan pendapatan sebanyak RM1.06 bilion (KRW286.0 bilion) bagi suku kedua, meningkat 46.7% berbanding tahun sebelumnya. 

 

Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang telah menggiatkan kejayaan luar negara Coway masing-masing melaporkan sebanyak RM0.87 bilion (KRW236.7 bilion) (+51.8% YoY) dan RM0.13 bilion (KRW35.8 bilion) (+11.5% YoY). 

 

Secara keseluruhannya, jumlah akaun luar negara telah meningkat sebanyak 33.8% kepada 2.25 juta.

 

Sementara itu, keuntungan kendalian pula menyaksikan penurunan sebanyak -1.6% berbanding tahun lalu kepada RM0.61 bilion (KRW166.4 bilion).

 

Keuntungan bersih Coway bagi suku kedua 2021 turut berkurangan sebanyak -2.6% berbanding tahun lalu kepada RM0.43 bilion (KRW115.8 bilion).

 

Jumlah berkenaan menyusut -7.9% berbanding suku sebelumnya. - DagangNews.com