Pendapatan Berjaya Food tidak akan capai RM38 juta untuk 3QFY2022 akibat tiada pertambahan permintaan | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Berjaya Food tidak akan capai RM38 juta untuk 3QFY2022 akibat tiada pertambahan permintaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Mac - RHB Investment Research menjangkakan pendapatan Berjaya Food Berhad tidak akan mencapai RM38 juta pada 3QFY2022 seperti yang direkodkan pada 2QFY2022 kerana tiada pertambahan permintaan selain faktor luar musim.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prestasi luar biasa Berjaya Food pada 2QFY2022 berpunca daripada kombinasi keghairahan orang ramai untuk berbelanja selain kejayaan rasionalisasi asas perniagaannya.

 

Kumpulan itu perlu merangka strategi berkesan dengan menggunakan jenama mereka untuk memacu jualan dalam usaha untuk meneruskan perkembangan syarikat pada tahun ini.

 

"Mereka berpendapat bahawa ketiadaan sekatan perjalanan selain waktu operasi lebih lama dan pembukaan semula sempadan antarabangsa akan membantu kumpulan itu mengekalkan pendapatan positif pada suku tahun akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu juga yakin dengan jenama Kenny Rogers Roaster (KRR) terutama selepas berjaya mencatatkan kebangkitan pada 2QFY2022 dengan perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) sebanyak RM5.5 juta berbanding kerugian sebelum cukai RM2.5 juta pada 1QFY2022 dan EBIT RM0.35 pada 2QFY2021.

 

Katanya, tindakan kumpulan menutup operasi cawangan yang tidak memberikan keuntungan berjaya memberikan pulangan dan firma itu percaya jenama itu akan terus mencatatkan keuntungan pada masa akan datang.

 

Pada masa sama, kumpulan itu akan memperuntukkan lebih 70% perbelanjaan modal (capex) bagi tempoh tiga tahun akan datang untuk mengembangkan rangkaian Starbucks dengan penggabungan penyelesaian digital untuk perniagaannya. 

 

"Mereka masih tidak menaikkan harga jualan meskipun berdepan gangguan rantaian bekalan dan inflasi sebaliknya mengoptimumkan kos bahan bagi mengurangkan tekanan ke atas margin keuntungan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu, mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Berjaya Food dengan harga sasaran (TP) kebih tinggi RM4.20 berbanding RM3.05 dengan asas penilaian bagi FY2023 serta sasaran nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 18x. 

 

"Kami juga meningkatkan unjuran pendapatan bagi FY2022 hingaa FY2024 antara 18% hingga 32% selepas mengambil kira perkembangan jualan serta jankaan margin keuntungan berbanding unjuran sebelum ini yang lebih konsorvertif," katanya. - DagangNews.com