Pendapatan Deleum menurun 14.6% pada 1H20 | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Deleum menurun 14.6% pada 1H20

Deleum Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Jumlah pendapatan Syarikat Deleum Berhad pada separuh tahun pertama 2020 menurun sebanyak 14.6% atau RM49.7 juta hingga RM290.0 juta.

Deleum dalam satu kenyataan berkata, jumlah tersebut adalah lebih rendah berbanding pendapatan dalam tempoh sama sebelumnya iaitu RM339.7 juta.

"Penurunan ini disebabkan oleh pendapatan yang lebih rendah daripada segmen Oilfield Services dan Penyelesaian Korosi Bersepadu yang dikurangkan berbanding pendapatan lebih tinggi dalam segmen Tenaga dan Jentera.

"Berbanding tahun sebelumnya, Deleum mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM8.8 juta berbanding keuntungan sebelum cukai RM15.9 juta pada tempoh sama," jelas Deleum.

Bagi segmen Tenaga dan Jentera (P&M), pendapatan meningkat sebanyak 11.1% atau RM18.4 juta kepada RM184.3 juta.

Peningkatan tersebut membawa kepada keuntungan sebelum cukai meningkat sebanyak RM6.7 juta atau 60.7% hasil sumbangan yang lebih tinggi daripada bahagian turbin, perkhidmatan aliran dan sistem pengurusan mesin selain perbelanjaan operasi yang lebih rendah.

Bagi segmen Oilfield Services (OS) pula, pendapatan untuk separuh tahun pertama menurun 28.1% kepada RM51.4 juta.

Susulan itu, kerugian sebanyak RM20.3 juta dicatatkan berbanding keuntungan pada tempoh sama sebanyak RM1.4 juta.

Manakala, untuk segmen Penyelesaian Korosi Bersepadu (ICS) turut merosot kepada RM53.9 juta iaitu menurun sebanyak RM48.0 juta atau 47.1% berbanding RM101.9 juta pada tempoh sama sebelumnya.

"Industri minyak dan gas menghadapi krisis yang belum pernah terjadi susulan wabak COVID-19 selain mengharapkan pemulihan dalam separuh tahun kedua 2020.

"Deleum akan terus beroperasi dengan memberi tumpuan kepada pengurusan kos dan tunai yang lebih baik," katanya Deleum. - DagangNews.com