KUALA LUMPUR 18 Julai - RHB Research menjangkakan Dufu Technology Corporation Berhad terus menerima permintaan yang tinggi bagi data besar dan storan awan dalam era digital.
Firma itu berkata, pendapatan mereka dijangka bertambah baik dengan menerusi permintaan tinggi untuk pemacu cakera keras (HDD), purata harga jualan (ASP) pengatur jarak titanium yang lebih baik, pemuatan yang lebih tinggi dan tukaran wang asing yang lebih menguntungkan dalam mengimbangi kos input.
Katanya, kapasiti penghantaran HDD meningkat sebanyak 31% hasil daripada peningkatan permintaan untuk pusat data, storan awan, infrastruktur dan peranti Internet Kebendaan (IoT).
"Perkembangan dalam penggunaan akan datang dijangka meningkatkan permintaan untuk storan berkapasiti tinggi seperti pemacu 20TB yang baru dilancarkan dengan kos yang lebih rendah.
"Selain itu ia memerlukan pengatur jarak berkualiti tinggi seperti titanium (pada margin yang lebih tinggi) bagi meningkatkan keyakinan pada masa sama memacu permintaan untuk komponen ketepatan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, selepas mengambil kira pertambahan pemintaan, kumpulan itu telah hampir menggunakan sepenuhnya kapasiti pengeluarannya dan kini sedang membangunkan kilang baharu dengan keluasan 37,000 meter persegi atau dua kali ganda kapasiti kilang di Taman Perindustrian Bukit Minyak yang dijangka beroperasi pada 2H23.
Katanya, perkembangan fasiliti pengeluaran di China adalah untuk menyokong perniagaan pelanggan utama mereka dan memenuhi peningkatan permintaan dan pembangunan produk baharu.
Firma itu berkata, bahagian logam kepingan terus kukuh selaras dengan pasaran semikonduktor dan sektor perkhidmatan pembuatan elektrik (EMS) dan ekosistem elektrik & elektronik (E&E) di Pulau Pinang.
"Sejak kilang mereka beroperasi pada 2H19, mereka berjaya mendapatkan peluang perniagaan baharu dalam segmen automotif, perubatan dan semikonduktor," katanya.
Firma itu bagaimanapun tidak menetapkan sebarnag penarafan untuk kumpulan itu tetapi memberikan harga wajar (FV) RM3.60. - DagangNews.com