Pendapatan DXN diunjur meningkat 12% pada FY24 disokong pertumbuhan ahli aktif, jualan di Amerika Latin – Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Pendapatan DXN diunjur meningkat 12% pada FY24 disokong pertumbuhan ahli aktif, jualan di Amerika Latin – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Okt - Pendapatan DXN Holdings Berhad bagi tahun kewangan berakhir 29 Februari 2024 (FY24) diunjur meningkat 12%, disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam ahli aktif di samping jualan yang teguh di rantau Amerika Latin, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu berkata garis masa kumpulan untuk menembusi pasaran baharu juga mengikut jadual dengan operasinya di Argentina disasarkan bermula pada Januari 2024 dan Brazil pada Mac 2024.

 

Menurut firma itu, pengembangan DXN ke rantau Amerika Latin akan terus memacu pertumbuhan jualan, sementara peningkatan jumlah ahli aktif juga akan mengekalkan momentum pertumbuhan pendapatannya pada masa hadapan.

 

“Kami menjangkakan pendapatan akan bertambah baik beransur-ansur berdasarkan pelarasan harga terancang di seluruh negara operasinya dan skala ekonomi lebih tinggi daripada kemudahannya yang baharu ditauliahkan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Maybank IB berkata hanya harga produk di Peru dan Bolivia telah diselaraskan pada September 2023 dan DXN merancang untuk melaksanakan kenaikan harga sebanyak kira-kira 9% hingga 10% untuk seluruh sepuluh pasaran teratasnya (termasuk Mexico, India, Malaysia) secara beransur-ansur untuk sehingga akhir FY24. DXN biasanya membuat pelarasan harga setiap tahun.

 

“Secara berasingan, kami memahami bahawa kadar cukai efektif suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24) kumpulan menurun 2.5 mata peratusan suku ke suku kepada 32% terutamanya disebabkan oleh tuntutan bonus ahli lebih tinggi pada suku tersebut, yang mengurangkan perbelanjaan bukan potongan cukainya,” tambah firma itu.

 

Mengulas mengenai keputusan 2QFY24, firma itu berkata pertumbuhan hasil kumpulan kukuh dengan peningkatan 16% tahun ke tahun (YoY) diterajui prestasi teguh jualan dalam pasaran utamanya (Peru: 30% YoY, Bolivia: 19% YoY, Mexico: 37% YoY, India: 24% YoY).

 

 

BACA JUGA: DXN catat untung bersih RM76 juta pada 2QFY24, isytihar dividen 0.9 sen

 

 

Hanya pertumbuhan hasil di Maghribi mencatatkan jualan lebih lemah dengan penurunan 22% YoY – yang pertama disebabkan kesan inflasi yang tinggi di negara itu terhadap perbelanjaan pengguna dan pengambilan ahli.

 

“Margin operasi lebih rendah pada suku kedua kerana kadar pertumbuhan makanan dan minuman diperkaya (menyumbang 70% daripada jumlah jualan kasar pada suku semasa, naik 4.2 mata YoY) yang lebih pantas berbanding kategori suplemen kesihatan dan pemakanan (HDS) dan penjagaan diri,” tambahnya.

 

Maybank IB mengekalkan unjuran pendapatan, saranan ‘beli’ dan harga sasaran (TP) sebanyak 90 sesaham (nisbah harga kepada pendapatan 2024 sebanyak 11 kali).

 

Pada pukul 12:11 tengah hari ini, saham DXN menokok 1 sen atau 1.5% kepada 68 sen, menilai permodalan pasarannya sebanyak RM3.39 bilion. - DagangNews.com