Pendapatan faedah bersih bank dijangka berkembang 4.6% tahun ini | DagangNews Skip to main content

Pendapatan faedah bersih bank dijangka berkembang 4.6% tahun ini

Bank

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 2 April - Pendapatan faedah bersih (NII) sektor perbankan dijangka berkembang sebanyak 4.6% pada 2021.

 

CGS-CIMB Research berkata, jangkaan pengembangan itu adalah lebih baik berbanding dengan penurunan 4.8% pada 2020.

 

"Walaupun jangkaan pertumbuhan pinjaman adalah lebih lemah pada 2021, kami mengunjurkan pemulihan pendapatan faedah bersih bank daripada penurunan 4.8% pada 2020 berkembang kepada 4.6% pada 2021 bagi bank-bank Malaysia di bawah liputan kami.

 

"Ia dinilai kepada jangkaan sedikit peningkatan margin faedah bersih (sekitar 3bp) berikutan kadar dasar semalaman yang stabil pada 2021.

 

"Selain itu, ia dinilai kepada tiadanya kerugian pengubahsuaian besar untuk pinjaman dengan kadar tetap yang ditanggung oleh bank pada 2020," jelas CGS-CIMB Research.

 

Dalam nota kajian yang sama, CGS-CIMB Research memberitahu, kadar pertumbuhan pinjaman industri menurun daripada 3.8% tahun ke tahun pada akhir Januari kepada 3.7% pada akhir Februari 2021.

 

Keadaan itu sekali gus mencerminkan permintaan kredit yang lemah bagi pinjaman perniagaan.

 

Bagaimanapun, momentum pinjaman isi rumah meningkat daripada 4.9% tahun ke tahun pada akhir Januari 2021 kepada 5.1% pada akhir Februari 2021.

 

Mengulas lanjut, CGS-CIMB Research memberitahu, pihaknya turut menjangkakan peruntukan kerugian pinjaman (LLP) adalah lebih rendah pada suku pertama 2021.

 

Jelas CGS-CIMB Research, ia dinilai kepada nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) industri uang menurun daripada 1.6% kepada 1.59% pada akhir Februari.

 

"Satu lagi tanda positif ialah peningkatan yang lebih kecil iaitu hanya RM600.7 juta dalam jumlah peruntukan bank pada dua bulan pertama 2021 berbanding dengan kenaikan RM3.73 bilion pada suku keempat 2020.

 

"Ini menyokong pandangan kami bahawa peruntukan kerugian pinjaman (LLP) pada suku pertama 2021 akan lebih rendah daripada tahap pada suku keempat 2020," ujar CGS-CIMB Research. - DagangNews.com