Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Mac. - Selepas mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM205.0 juta bagi tahun kewangan 2020 (FY20), syarikat Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) dijangka mengalami penurunan jumlah pendapatan bagi tahun kewangan 2021 (FY21).
CGS-CIMB Research berkata, jangkaan itu dinilai kepada harga purata jualan gas yang dianggar menurun lebih rendah.
"Kami menjangkakan pendapatan FY21 adalah lebih rendah berbanding FY20, kerana kami menganggarkan harga purata jualan gas adalah lebih rendah sekali gus mempengaruhi keuntungan penghantaran unit.
"Mungkin adanya potensi kenaikan pendapatan sekiranya harga jualan gas berubah pada masa akan datang seiring dengan harga pasaran sekarang bermula RM22.14/MMbtu bagi Januari hingga Mac 2021.
"Kami menyemak sasaran harga sesaham (TP) kepada kadar yang lebih rendah RM2.85," jelas CGS-CIMB Research.
Dalam laporan kewangan tahun kewangan 2020, syarikat berkenaan memperoleh pendapatan sebanyak RM205.0 juta.
Bagi tahun kewangan sama, MIDF Research memberitahu, syarikat berkenaan memperoleh 51 pelanggan baharu sejajar dengan sasaran yang diletakkan antara 40-60 pelanggan baharu dalam tahun kewangan tersebut.
Jelas MIDF Research, pelanggan baharu itu dilihat akan dijangka terus memacu pendapatan tahun kewangan 2021.
Anggaran pendapatan bagi tahun kewangan 2021 hingga 2022 disemak lebih tinggi sebanyak 16.4% dan 16.0% selepas mengambil kira jualan yang lebih tinggi pada masa akan datang.
"Pertumbuhan jumlah jualan Gas Malaysia turut disokong oleh pertumbuhan KDNK negara.
"Dengan kelonggaran PKP secara berperingkat di seluruh negara serta pelancaran program vaksinasi COVID-19 bermula hujung Februari 2021, kami yakin Gas Malaysia dapat mencapai sasaran ini. Sasaran semasa KDNK kami adalah 5.4%," jelas MIDF Research. - DagangNews.com