Pendapatan FY21 Wasiyyah Shoppe dijangka meningkat kepada RM25 juta | DagangNews Skip to main content

Pendapatan FY21 Wasiyyah Shoppe dijangka meningkat kepada RM25 juta

(Dari kiri) Ariffin Sabirin bersama Datuk Ahmad Tajudin (tengah) menyampaikan hadiah kepada salah seorang daie di majlis makan tengah hari di ibu kota hari ini.

(Dari kiri) Ariffin Sabirin  bersama Datuk Ahmad Tajudin (tengah) menyampaikan hadiah kepada salah seorang daie.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 6 April - Pendapatan syarikat amanah pelaburan patuh syariah terbesar Malaysia, Wasiyyah Shoppe Berhad (Wasiyyah Shoppe) dijangka melonjak antara 70% hingga 80% kepada RM25 juta  bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin berkata, jumlah itu lebih tinggi berbanding RM13 juta bagi tahun kewangan sebelumnya.

 

"Syarikat menjangkakan pendapatan bagi tahun kewangan 2020/2021 yang berakhir 30 Jun 2021 akan mencatat peningkatan kepada RM25 juta berbanding tahun kewangan sebelumnya berdasarkan pencapaian setakat Mac 2021.  

 

"Semasa tempoh PKP, kita mulakan proses pendigitalan dan inisiatif itu membuatkan proses jualan kami menjadi lebih lancar dan membantu daie atau perunding kami melakukan jualan yang lebih efisyen.

 

"Ia menyumbang kepada peningkatan sebanyak 100% dalam proses jualan kami," katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media sempena majlis makan tengah hari bagi meraikan 30 daie atau perunding terbaik syarikat berkenaan hari ini.

 

Majlis berkenaan adalah sebagai penghargaan kepada kerja keras dan sumbangan para daie yang berjaya membantu umat Islam merancang harta melalui perkhidmatan Wasiyyah Shoppe meskipun dalam keadaan ekonomi yang mencabar kesan pandemik COVID-19.

 

Dua kumpulan paling terbaik di bawah Wasiyyah Shoppe diraikan melalui pelbagai anugerah di majlis berkenaan.

 

Kesemua daie tersebut menerima sijil penghargaan, trofi dan baucer penginapan yang disampaikan oleh Pengerusi Wasiyyah Shoppe Berhad, Datuk Ahmad Tajudin Abdul Rahman.

 

Seramai 2,600 daie berdaftar dengan Wasiyyah Shoppe di seluruh Malaysia.

 

Bagaimanapun, seramai 1,000 daie yang kekal aktif secara konsisten dalam membuat jualan.

 

Tambah beliau, Wasiyyah Shoppe adalah organisasi pertama di Malaysia yang berjaya memperkenalkan peluang keusahawanan dalam industri perancangan harta secara syariah semenjak 2004.

 

Sehubungan itu, syarikat telah membangunkan pelbagai model latihan yang komprehensif dan inovatif bagi melatih para daie. 

 

Ia termasuklah pembangunan sistem latihan inovatif atas talian yang memberikan akses kepada daienya bagi mengikuti latihan pada bila-bila masa dari mana-mana lokasi seluruh dunia.

 

"Di dalam industri, daie Wasiyyah Shoppe Berhad memegang reputasi sebagai profesional yang mantap dari segi ilmu berkaitan pewarisan harta orang Islam, beretika tinggi  dan dihormati masyarakat serta dalam masa yang sama berjaya menjadikan kerjaya ini sebagai peluang beroleh pendapatan yang lumayan. 

 

"Wasiyyah Shoppe Berhad komited untuk melahirkan lebih ramai daie yang berkualiti dan berjaya menjadi jutawan di dalam industri perancangan harta secara syariah," katanya lagi. - DagangNews.com