Pendapatan Kossan Rubber bagi 4QFY22 dijangka yang terburuk untuk 2022 | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Kossan Rubber bagi 4QFY22 dijangka yang terburuk untuk 2022

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Nov - CGS-CIMB Research menjangkakan pendapatan Kossan Rubber Industries Berhad bagi 4QFY22 akan menjadi yang terburuk buat kumpulan itu bagi tahun ini.

 

Firma itu berkata, jangkaan itu adalah berdasarkan permintaan yang lemah daripada pelanggan selain tekanan margin keuntungan (tekanan kos dan kelemahan harga jualan).

 

Katanya, purata harga jualan (ASP) kumpulan dijangka stabil pada 4QFY22 pada harga AS$21-22 (RM99.56 -RM104) setiap 1,000 keping sarung tangan, berbanding AS$23 (RM109) pada 3QFY22.

 

"Kami menjangkakan Kossan akan terus menghadapi persekitaran operasi yang lemah dan kami mengunjurkan untung bersih menurun 33% pada FY23 kerana kelemahan permintaan sarung tangan.

 

"Selain itu, mereka juga akan terus berdepan tekanan kos seperti kekurangan tenaga kerja, gas asli dan sebagainya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih 3QFY22 kumpulan itu menjunam 95.6% kepada RM23.26 juta daripada RM528.2 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, terjejas teruk kesan daripada ASP yang lebih rendah dan jumlah sarung tangan yang dijual.

 

Perolehan sesaham jatuh kepada 0.91 sen daripada 20.69 sen sebelumnya.

 

Hasil suku tahunan merosot 56.97% kepada RM560.52 juta daripada RM1.3 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu disebabkan penurunan hasil daripada bahagian sarung tangan dan bilik bersihnya.

 

Firma itu berkata, keuntungan bersih teras 3QFY22 sebanyak RM23.3 juta (-95.6%) adalah lebih lemah daripada jangkaan, disebabkan jumlah jualan yang lebih rendah daripada jangkaan (turun 11-15%) serta penurunan harga jualan purata yang lebih besar daripada jangkaan (turun 58-62%).

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu RM1.15 sesaham. - DagangNews.com