Pendapatan kukuh sektor perbankan bagi 2QFY22 didorong peningkatan pendapatan faedah bersih | DagangNews Skip to main content

Pendapatan kukuh sektor perbankan bagi 2QFY22 didorong peningkatan pendapatan faedah bersih

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Sept - Pendapatan kukuh sektor perbankan bagi 2QFY22 didorong oleh jumlah pendapatan yang lebih tinggi disokong oleh peningkatan pendapatan faedah bersih (NII).

 

AmInvestment Bank Research berkata, peningkatan NII itu didorong oleh pertumbuhan pinjaman dan margin faedah bersih (NIM) yang lebih kukuh pada suku sama kesan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25bps pada Mei 2022.

 

Katanya, keputusan kewangan kebanyakan bank termasuk Maybank, Pulic Bank, RHB Bank, CIMB dan Alliance Bank adalah di dalam jangkaan manakala pendapatan Hong Leong Bank adalah di luar jangkaan kesan daripada sumbangan positif daripada Bank of Chengdu.

 

Pada masa sama, untung bersih teras Bank Islam menunjukkan prestasi rendah disebabkan pendapatan berasaskan dana bersih yang lebih rendah daripada unjuran.

 

"Kami mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor itu selain 'beli' untuk RHB Bank (nilai wajar RM7.40), CIMB Group (FV RM6.70) dan Maybank (FV RM10.30)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, saranan terhadap CIMB itu dibuat berdasarkan nilai saham yang menarik selain kos operasi yang optimum bagi perniagaan bank komersial di Indonesia dan Thailand.

 

"RHB Bank juga antara pilihan utama kami dalam sektor perbankan kerana penilaiannya yang menarik selain kedudukan modal yang kukuh berbanding pesaingnya," katanya.

 

Bagaimanapun, sebarang gangguan rantaian bekalan berpanjangan akan memberi kesan kepada kadar pemulihan ekonomi seterusnya mengganggu unjuran bagi pertumbuhan sektor itu.

 

Katanya, tekanan inflasi dijangka meningkat semula, ditambah pula dengan kelembapan pertumbuhan ekonomi global yang boleh menyebabkan stagflasi.

 

"Stagflasi akan menyebabkan kadar pengangguran yang lebih tinggi dan kadar inflasi yang lebih tinggi menyebabkan risiko penurunan nisbah kualiti aset bank, menyebabkan kemungkinan keperluan untuk meningkatkan peruntukan bagi potensi kerugian kredit," katanya. - DagangNews.com