Pendapatan LPI Capital suku ketiga dijangka terjejas akibat lockdown | DagangNews Skip to main content

Pendapatan LPI Capital suku ketiga dijangka terjejas akibat lockdown

Pendapatan LPI Capital bagi suku kedua 2021 meningkat kepada RM420 juta disumbangkan terutamanya menerusi peningkatan premium kasar yang dicatat oleh anak syarikat insurans milik penuhnya, Lonpac Insurance Bhd.
 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Langkah sekatan pergerakan yang masih dilaksanakan ketika ini dijangka menjejaskan pendapatan LPI Capital Bhd. pada suku ketiga 2021.

 

Bagaimanapun, Kenanga Investment Bank Research melihat trend kukuh akan berterusan sehingga separuh kedua tahun ini. 

 

"Pendapatan LPI kebiasaannya lebih baik pada separuh kedua dengan purata pecahan sumbangan 5 tahun separuh pertama/kedua pada kadar 45/55%," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

LPI Capital mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM83.92 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2021 berbanding RM77.4 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Hasil meningkat kepada RM420 juta daripada RM399 juta, disumbangkan terutamanya menerusi peningkatan premium kasar yang dicatat oleh anak syarikat insurans milik penuhnya, Lonpac Insurance Bhd (Lonpac).

 

Lonpac mencatatkan pertumbuhan pendapatan premium kasar sebanyak 8.4% kepada RM369.4 juta pada suku tersebut.

 

Ia turut merekodkan peningkatan keuntungan penaja jaminan sebanyak 23.6% kepada RM88.4 juta berikutan nisbah tuntutan yang ditanggung lebih rendah.

 

Nisbah tuntutan penanggung insurans merosot kepada 35.8% daripada 45.6% dengan kebanyakan kelas insurans utama mencatatkan nisbah lebih rendah.  

 

Menurut Kenanga Research, untung teras bersih bagi separuh pertama sebanyak RM166.2 juta masih memenuhi sasaran mereka dan konsensus pada 48%.

 

Firma itu bagaimanapun menyemak turun LPI Capital kepada 'market perform' dengan harga sasaran lebih rendah pada RM14.20. 

 

Sementara itu, AmInvestment Research mengekalkan saranan 'tambah' bagi saham LPI Capital dengan nilai saksama tidak berubah pada RM14.30 sesaham.

 

Menurutnya, nisbah tuntutan susut 37.4% dalam tempoh 6 bulan tahun ini berbanding 45.9% bagi tempoh sama tahun lalu disokong tuntutan yang lebih rendah bagi segmen kebakaran, motor dan lain-lain.

 

"Faktor utama penurunan ini disebabkan nisbah tuntutan motor dijangka kembali normal pada masa akan datang.

 

"Apabila kadar jangkitan COVID-19 dapat dikawal dengan vaksinasi yang tinggi, ekonomi dibuka semula dan lebih banyak kenderaan di jalan raya. Ini akan menyaksikan nisbah tuntutan motor yang lebih tinggi," katanya. - DagangNews.com