Pendapatan Malakoff dijangka pulih, PublicInvest naikkan taraf saranan kepada ‘outperform’ | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Malakoff dijangka pulih, PublicInvest naikkan taraf saranan kepada ‘outperform’

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Jan - Public Investment Bank (PublicInvest) menaikkan taraf saranan Malakoff Corp Berhad kepada ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi 10 sen pada 70 sen sesaham.

 

Ini susulan firma penyelidikan tersebut menaikkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24-25) masing-masing sebanyak 4.4% dan 9.8% didorong pertumbuhan lebih tinggi dalam segmen rumusan alam sekitarnya.

 

Menurut firma itu, tinjauan rumusan alam sekitar kekal optimistik dengan penjanaan sisa domestik negara dijangka berkembang kepada 19 juta tan setahun bagi 2050 daripada daripada 14 juta tan setahun pada 2021, seiring dengan pertumbuhan penduduk.

 

Bagi perniagaan bukan konsesi pula, Malakoff terus meneroka pembangunan kemudahan sisa terjadual, iaitu Kemudahan Penerimaan Pelabuhan (PRF), Kompleks Pemulihan Eko Bersepadu (IERC), serta Kemudahan Lestari dan Pusat Taman Eko (SAFE).

 

“Segmen berkenaan juga berkembang secara bukan organik dengan memperoleh 49% kepentingan dalam E-Idaman Sdn Bhd berharga RM133.2 juta.

 

“Perkembangan itu akan membolehkan Malakoff mempunyai jejak pengurusan sisa di wilayah utara dan menyediakan aliran pendapatan yang stabil sehingga 2033 melalui perniagaan konsesi,” ujarnya tersebut dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Di samping itu, PublicInvest berpendapat bahawa kemerosotan margin bahan api negatif dalam tiga suku berturut-turut dijangka dapat diselesaikan mulai suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) dan seterusnya memandangkan harga arang batu stabil.

 

Sementara itu, prospek perniagaan tenaga haba kumpulan itu kekal memberangsangkan dengan kapasiti baharu 4,000MW (megawatt) bakal dipasang menjelang 2030, merangkumi tiga perjanjian pembelian kuasa (PPA), iaitu Loji Janakuasa Prai 350MW, Loji Janakuasa SEV 1,303MW dan Loji Janakuasa Kapar 40% miliknya dengan 2,200MW, yang dijangka tamat tempoh menjelang 2024, 2027 dan 2029.

 

“Dengan sinergi dalam kedua-dua tenaga haba dan pengurusan sisa, usaha sama Malakoff-Alam Flora akan memperoleh projek loji sisa kepada tenaga (WTE) di Melaka sebagai sebahagian daripada strateginya untuk mencapai sasaran 1,400MW portfolio tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang 2031,” tambahnya.

 

Pada rehat tengah hari, saham Malakoff kekal pada 65.5 sen dengan permodalan pasaran berjumlah RM3.28 bilion.  - DagangNews.com