Pendapatan Malayan Flour Mills diramal meningkat dipacu permintaan tinggi segmen tepung di Malaysia, Vietnam | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Malayan Flour Mills diramal meningkat dipacu permintaan tinggi segmen tepung di Malaysia, Vietnam

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Sept - Pendapatan Malayan Flour Mills Bhd (MFM) diramal meningkat dipacu permintaan kukuh bagi segmen tepung di Malaysia dan Vietnam.

 

AmInvestment Bank Research berkata, difahamkan lonjakan permintaan di Vietnam berpunca daripada kebanyakan rakyatnya memilih roti sebagai makan utama berbanding nasi berikutan harga beras yang tinggi.

 

Katanya, purata kadar penggunaan kilang tepung MFM naik kepada 68.5% pada 1HFY24 berbanding 65% pada 1HFY23 manakala di Vietnam kadar penggunaan adalah sekitar 80.2% pada 1HFY24 berbanding 6% pada 1HFY23.

 

"Permintaan kukuh untuk tepung lebih baik bagi menampung harga jualan yang lebih rendah pada 1HFY24, penurunan harga jualan tepung itu adalah sejajar dengan kejatuhan harga kos gandum.

 

"Kami berpendapat bahawa harga jualan produk tepung MFM di Malaysia dan Vietnam susut lebih daripada 7% pada 1HFY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, di sebalik permintaan yang kukuh untuk produk tepung, kumpulan itu mengembangkan kapasiti pengilangannya di Malaysia daripada 1,200 tan/hari kepada 1,800 tan/hari. 

 

Di Vietnam, MFM merancang untuk menambah barisan baharu dan silo tepung yang dijangka siap menjelang akhir FY24.

 

Sementara itu, prospek perniagaan haiwan ternakan kekal suram kesan boikot berterusan terhadap restoran makanan segera yang memberi kesan buruk kepada permintaan semasa.

 

Katanya, purata kadar penggunaan kilang pemprosesan ayam ialah 48.9% pada 1HFY24 berbanding 50.3% pada 1HFY23.

 

"Bagi meningkatkan jumlah jualan, mereka perlu menjual keseluruhan ayam berbanding bahagian yang dipotong selain memberi focus kepada restoran seperti Nando's," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) 87 sen sesaham.- DagangNews.com