Pendapatan Marine & General dijangka meningkat 7 kali ganda pada FY25 disokong peningkatan sewa harian kapal, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Marine & General dijangka meningkat 7 kali ganda pada FY25 disokong peningkatan sewa harian kapal, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Julai - Kenanga Research menjangkakan pendapatan Marine & General Bhd meningkat sebanyak tujuh kali ganda pada FY25 disokong unjuran peningkatan sebanyak 20% dalam purata kadar sewa harian (DCR) kepada RM55,900 dengan kadar penggunaan armada kumpulan itu mencecah 88%.

 

Bagi FY26, firma penyelidikan itu menjangkakan pertumbuhan pendapatan selanjutnya sebanyak 85% disokong peningkatan 13% dalam purata DCR kepada RM64,200 dan penggunaan kapal lebih tinggi sebanyak 89%. 

 

Selain itu, katanya, mereka mengandaikan hasil daripada empat kapal tambahan yang disewa dengan  margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 13%.

 

"Kumpulan itu memiliki 21 kapal sokongan luar pesisir (OSV) dengan 19 daripadanya adalah kapal tunda pengendalian sauh (AHTS), dengan purata umur 13 tahun.

 

"Daripada armada AHTS milik mereka, sepuluh kapal memiliki kapasiti tarikan bollard 10,888 bhp, menjadikan Marine & General pemilik terbesar AHTS berkapasiti tinggi di dalam negara.

 

"Ia meletakkannya pada kedudukan kukuh bagi memanfaatkan potensi peningkatan dalam aktiviti huluan di Malaysia, kerana pengeluar minyak lazimnya mengutamakan kapal AHTS berkapasiti lebih tinggi untuk lebih banyak aktiviti penggerudian semasa kitaran atas perbelanjaan modal industri huluan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia juga memiliki enam kapal tangki produk bersaiz kecil bagi menjana pendapatan berulang kepada kumpulan.

 

Katanya, memandangkan aktiviti penggerudian akan terus meningkat di Malaysia kerana Petronas berhasrat untuk meningkatkan pengeluaran minyak dan gas negara, mereka menjangkakan bahawa DCR AHTS akan terus bertambah baik dari FY24 dan FY25.

 

"Peningkatan ini akan diperkukuh dengan kekurangan tambahan bekalan kapal OSV baharu di pasaran," katanya.

 

Sementara itu, pada 2020 kumpulan itu menstruktur semula hutang RM923 bersama banknya dengan membayar RM50 juta pendahuluan, menyelesaikan hutang bernilai RM150 juta melalui terbitan saham keutamaan tidak boleh tebus kepada bank dan mendapatkan masa tambahan bagi menyelesaikan RM723.2 juta yang terhutang kepada bank.

 

Sejak itu, kumpulan itu berjaya menurunkan penggearan bersihnya daripada 22x kepada 4.5x. 

 

"Dengan aliran tunai dijangka mencecah paras selesa RM150 juta hingga RM200 juta setahun pada FY24-FY25, kami menjangkakan kumpulan itu dapat mengurangkan penggearan bersihnya dengan lebih rendah," katanya.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga wajar 46 sen sesaham. - DagangNews.com