Pendapatan MR DIY dijangka berkembang didorong penambahan kedai di Malaysia Timur, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Pendapatan MR DIY dijangka berkembang didorong penambahan kedai di Malaysia Timur, kata CGS-CIMB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Jan - CGS-CIMB Securities telah menaik taraf saranan MR DIY Group (M) Bhd kepada ‘tambah’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi sebanyak RM1.90 berikutan tinjauan positif terhadap penambahan kedai di Malaysia Timur dan strategi label jenama sendiri.

 

Firma penyelidikan itu berkata ia menjadi lebih positif terhadap trajektori pertumbuhan pendapatan MR DIY selepas mesyuarat baru-baru ini dengan pihak pengurusan untuk membincangkan rancangan penambahan kedai lima tahunnya, iaitu 2024 hingga 2028.

 

Firma itu menyemak naik andaian pertumbuhan jualan tahun ke tahun (YoY) bagi tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24-25) masing-masing kepada 10.6% (sebelum ini 6.3%) dan 10.5% (sebelum ini 5.2%).

 

Jelasnya, ini berdasarkan tumpuan baharu pengurusan kumpulan itu untuk mengembangkan rangkaian kedai, terutamanya kedai berkonsepkan MR DIY utama, ke kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan di Malaysia Timur.

 

“Kami percaya ini akan memacu pertumbuhan jualan kerana MR DIY menyatakan bahawa kedai di Malaysia Timur lazimnya mengalami purata jualan lebih tinggi daripada 30% bagi setiap kedai berbanding Semenanjung Malaysia,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

CGS-CIMB menambah bahawa kedai di Malaysia Timur membentuk hanya 12% (berbanding 87% di Semenanjung Malaysia), dengan 144 daripada jumlah kedai setakat September 2023, menandakan terdapat potensi untuk menambah lebih banyak kedai.

 

MR DIY mengesahkan semula matlamatnya untuk membuka 180 kedai baharu pada 2024 dan menyasarkan bilangan kedai sebanyak 2,000 menjelang 2028 memandangkan sektor runcit pembaikan rumah Malaysia masih kurang ditembusi, di mana ia hanya membentuk 3.1% daripada jumlah jualan runcit pada 2022.

 

Sementara itu, jualan produk label sendiri MR DIY, yang membentuk kira-kira 50% daripada jumlah jualan, telah meningkatkan ekuiti jenamanya.

 

Ini menyumbang kepada perkembangan margin keuntungan kasar sebanyak 45.2% dalam tempoh sembilan bulan pertama 2023 dan menyokong pengembangan penawaran dan saiz bakul bagi pengembangan margin berpotensi.

CGS-CIMB berkata risiko penurunan utama termasuk sentimen pengguna dan margin operasi yang lebih lemah daripada jangkaan.

 

Pada pukul 3:59 petang ini, saham MR DIY menokok 1 sen atau 0.7% kepada RM1.47 dengan permodalan pasaran RM13.9 bilion. - DagangNews.com