Pendapatan MSM kekal terjejas akibat kelewatan kilang di Johor dan peningkatan kos gula mentah, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Pendapatan MSM kekal terjejas akibat kelewatan kilang di Johor dan peningkatan kos gula mentah, kata CGS-CIMB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Mac - Rancangan penjanaan dana MSM Malaysia Holdings Berhad dilihat sedikit negatif memandangkan hal tersebut berkemungkinan mencairkan pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 2.5 hingga 5.9% jika melibatkan pelaksanaan penempatan saham, menurut CGS-CIMB Research.

 

Firma itu berkata kumpulan tersebut tidak berupaya menaikkan kadar penggunaan kilang penapisannya di Johor serta peningkatan kos input dan kewangannya.

 

“Memandangkan MSM dijangkakan kekal merah separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) dan kurang jelas sama ada kerajaan akan bersetuju dengan cadangan untuk mengapungkan harga gula, kami ulangi saranan ‘kurang’,” kata firma penyelidikan itu.

 

Dalam notanya hari ini, CGS-CIMB berkata cadangan mengapungkan harga runcit gula bertapis dan pemulihan di kilang penapisan MSM Johor merupakan perkembangan berpotensi yang boleh mengubah pendapatannya, namun firma tersebut tidak mengambil kira perkara tersebut dalam ramalan memandangkan kekurangan butiran.

 

Menurut firma itu, kenaikan kos gula mentah berkemungkinan akan terus menekan margin keuntungan MSM pada FY23, lebih-lebih lagi segmen borong domestiknya memandangkan harga siling gula bertapis runcit adalah RM2.85 sekilogram.

 

Bagaimanapun, jika perbincangan harga siling terapung untuk gula bertapis dengan kerajaan membuahkan hasil, harga siling boleh menokok 70 sen hingga RM1.20 sekilogram.

 

“Harga siling boleh meningkatkan unjuran keuntungan bersih tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) kami sebanyak RM128 juta hingga 262 juta iaitu RM18 juta hingga 21 juta bagi setiap 10 sen sekilogram, dengan andaian tiada perubahan dalam kos,” ujar firma tersebut.

 

Selain itu, import gula kristal dari India juga satu kebimbangan disebabkan harga murah disebabkan kualiti rendah, di mana firma itu berkata ia boleh meningkatkan persaingan pasaran gula bertapis tempatan dan memberi kesan negatif kepada volum dan margin jualan domestik MSM.

 

Namun, MSM berkongsi hanya terdapat 10,000 tan gula kristal yang diimport dalam pasaran tempatan pada akhir Februari 2023 berbanding jumlah borong tempatan MSM bagi FY22 sebanyak 353,000 MT.

 

Sementara itu, perkembangan pemulihan kilang penapisan Johor perlu diperhatikan memandangkan firma tersebut tidak menjangkakan MSM mampu meningkatkan kadar penggunaan kilang tersebut kepada 40% tahun ini justeru kumpulan tersebut tidak akan menjana keuntungan dalam FY23.

 

“Kami menganggap MSM Johor mungkin menghadapi kelewatan dalam meningkatkan kadar penggunaan penapisan kerana ia mungkin mengambil masa untuk mendapatkan kontrak eksport yang diperlukan.

 

Kami percaya keuntungan MSM Prai sepatutnya mengimbangi kelemahan di MSM Johor dan dengan itu meramalkan keuntungan bersih teras FY23 sebanyak RM3 juta,” katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘kurang’ dengan harga sasaran (TP) yang dikurangkan kepada 58 sen. -DagangNews.com