Pendapatan pembuat sarung tangan Malaysia diramal kukuh bagi 12 bulan akan datang dipacu peningkatan permintaan | DagangNews Skip to main content

Pendapatan pembuat sarung tangan Malaysia diramal kukuh bagi 12 bulan akan datang dipacu peningkatan permintaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Jun - Maybank Investment Bank (Maybank IB) meramalkan pendapatan pembuat sarung tangan Malaysia kukuh bagi tempoh 12 bulan akan datang, didorong peningkatan permintaan dan penstabilan purata harga jualan (ASP).

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu kekal berhati-hati terhadap prospek jangka panjang mereka memandangkan persaingan sengit daripada pengeluar China. 

 

"Kecekapan kos dan teknologi adalah kunci bagi pengeluar sarung tangan Malaysia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pihaknya kagum dengan pembuat sarung tangan China, terutamanya Intco kerana memiliki kilang yang moden yang terdiri daripada barisan peneluaran, pembungkusan dan penyimpanan yang cekap manakala lantai pengeluaran Bluesail kelihatan serupa dengan beberapa pembuat sarung tangan Malaysia kecuali untuk pembungkusan dan penyimpanan.

 

Katanya, kedua-dua syarikat itu kin beroperasi pada kadar penggunaan hampir 100%.

 

Maybank IB berkata, Intco dan Bluesail sedang berusaha untuk mengembangkan kapasiti mereka secara progresif di peringkat domestik dan di Asia Tenggara (SEA).

 

"Walaupun Intco dan Bluesail akan meningkatkan kapasiti mereka secara beransur-ansur, bergantung pada permintaan pasaran, ketidakpastian kekal mengenai strategi harga/pasaran mereka, terutamanya apabila mereka mempunyai kos pengeluaran yang agak rendah disebabkan oleh barisan pengeluaran dan teknologi yang lebih baharu serta mempunyai rantaian bekalan bersepadu," katanya.

 

Intco dan Bluesail juga sedang mencari peluang untuk mengembangkan perniagaan bukan sarung tangan mereka seperti kerusi roda (Intco) dan peranti perubatan (Bluesail).

 

Firma penyelidikan itu menyemak turun penarafan sektor itu kepada 'taktikal positif' berbanding 'positif' pada sebelum ini.

 

"Kami juga menurunkan penarafan Top Glove Corp Bhd kepada 'pegang' dan mengekalkan saranan 'beli' untuk Hartalega Holdings Bhd dan Kossan Rubber Industries," katanya.- DagangNews.com