Pendapatan segmen pembungkusan Scientex diramal lemah kesan kos tenaga tinggi, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Pendapatan segmen pembungkusan Scientex diramal lemah kesan kos tenaga tinggi, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jun - Kenanga Research meramalkan prospek pendapatan yang lebih lemah bagi segmen pembungkusan Scientex Bhd disebabkan pasaran eksport yang lemah dan kos tenaga yang tinggi.

 

Katanya, bagaimanapun sebahagian daripadanya akan diimbangi oleh penjimatan daripada sistem solar fotovoltaik (PV) 21-MWp yang seharusnya beroperasi bermula Januari 2025.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jualan hartanah mampu miliknya dijangka terus kukuh.

 

Sementara itu, pengambilan tanahnya di Muar (Johor) dijangka siap pada separuh kedua tahun ini, manakala di Bestari Jaya (Selangor), Seberang Perai Selatan (Pulau Pinang), dan Pulai (Johor) pada separuh pertama 2025.

 

"Untung bersih teras 9MFY24 kumpulan itu meningkat 23% dari tahun ke tahun didorong sebahagian besarnya oleh keuntungan daripada segmen hartanah yang sebahagiannya diimbangi oleh eksport pembungkusan yang lemah. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih 3QFY24 Scientex berjumlah RM130.5 juta, meningkat 18.9%

 

"Kami melihat aliran pendapatan yang sama pada masa hadapan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu merekodkan untung bersih RM130.5 juta pada 3QFY24 iaitu 18.9% lebih tinggi berbanding RM109.8 juta yang direkodkan suku sama tahun lalu.

 

Hasil naik 11.1% kepada RM1.1 bilion, diterajui bahagian hartanah yang menyaksikan peningkatan hasil 24.7% kepada RM451.1 juta yang dipacu perkembangan pembinaan kukuh untuk pembangunan rumah mampu milik merentas Semenanjung Malaysia.

 

Bahagian pembungkusan pula mencapai peningkatan hasil 3.4% kepada RM656.9 juta disebabkan eksport pembungkusan industri dan pelanggan yang lebih tinggi.

 

Kenanga Research menyukai kumpulan itu kerana daya saingnya dalam industry pembungkusan plastic global memandangkan saiz dan struktur kos yang rendah serta kedudukan dalam segmen perumahan mampu milik di Johor.

 

Bagaimanapun, mereka percaya penilaian telah menjadi lebih baik selepas kenaikan harga saham kumpulan itu baru-baru ini.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) RM4.00 sesaham. - DagangNews.com