Pendapatan sektor REIT dijangka berkembang 9% pada 2024 disokong kadar penghunian positif, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Pendapatan sektor REIT dijangka berkembang 9% pada 2024 disokong kadar penghunian positif, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Dis - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan pendapatan sektor Real Estate Investment Trust (REIT)  berkembang pada paras 9% pada 2024 disokong kadar penghunian dan sewa yang positif selain penambahan beberapa aset baharu.

 

Ia menjangkakan aset hospitaliti dan runcit mengekalkan momentum pertumbuhan yang sihat didorong kedatangan semula pelancong antarabangsa dan peningkatan jualan penyewa yang akan membantu mengekalkan permintaan penyewa untuk ruang runcit.

 

"Kami menyukai pusat beli-belah utama yang terletak di lokasi yang menonjol. Kami menjangkakan peningkatan kadar penyenyewaan positif pada FY24 merentasi kebanyakan hartanah runcit di Lembah Klang," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu percaya bahawa segmen industri kekal dalam trajektori menaik dengan aset serta gudang berada dalam keadaan stabil disokong permintaan kukuh daripada kedua-dua industri logistik dan pembuatan.

 

Bagi segmen pejabat, mereka menjangkakan keadaan lebih mencabar memandangkan keadaan lebihan bekalan berterusan dan pada masa sama mengunjurkan kadar sewa dan penghunian juga mencabar.

 

"Bagaimanapun, penciptaan semula bangunan pejabat melalui inisiatif peningkatan aset (AEI) dan peningkatan kepada status bangunan 'hijau' boleh menaikkan kadar penyewaan. 

 

"Dalam segmen ini, kami memilih aset pejabat dengan penyewa jangka panjang yang akan melibatkan risiko penghunian yang lebih rendah," katanya.

 

Maybank IB juga menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras 3% sepanjang 2024.

 

Keadaan itu akan memberikan kelonggaran dari segi kos pembiayaan yang lebih tinggi pada 2023.

 

"Pada akhir September 2023, pendedahan hutang kadar terapung sektor adalah 54%; kos faedah dalam pada tahun sama berada dalam julat antara 3.8% hingga 5.4% (2022: 2.8%-4.3%)," katanya.

 

Firma penyelidikan itu juga kekal berhati-hati terhadap lebihan bekalan ruang runcit dan pejabat di Lembah Klang yang boleh memberi tekanan pada kadar penghunian dan/atau pengembalian sewa. - DagangNews.com