Pendapatan Sunway Construction pada FY25 diramal meningkat 53% didorong lonjakan projek pusat data, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Sunway Construction pada FY25 diramal meningkat 53% didorong lonjakan projek pusat data, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Sunway Construction Group Bhd diramal mencatatkan peningkatan pendapatan luar biasa sebanyak 53% bagi FY25 didorong lonjakan dalam projek pusat data.

 

RHB Investment berkata, rangsangan pendapatan itu disokong peningkatan ketara dalam pengiktirafan daripada pelbagai jenis pekerjaan pusat data serta potensi kontrak baharu.

 

Katanya, menurut DC Byte, Malaysia bersedia untuk melihat komitmen besar kira-kira 766.9 megawatt (MW) bekalan IT untuk pusat data dengan kemasukan projek itu dijangka diterjemahkan kepada anggaran nilai pembinaan antara RM29 bilion hingga RM34 bilion. 

 

Penilaian itu berdasarkan anggaran kos pembinaan sebanyak AS$8.5 juta hingga AS$10 juta setiap MW, seperti yang dilaporkan oleh Arizton.

 

"Perkembangan pesat sektor pusat data menyerlahkan permintaan yang semakin meningkat untuk infrastruktur IT dan menggariskan peranan penting Malaysia dalam landskap teknologi rantau ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan pada 2QFY24 melonjak 18% kepada RM38.9 juta berbanding RM33 juta setahun lalu manakala perolehan meningkat 7.8% kepada RM651 juta, daripada RM604 juta dipacu oleh prestasi lebih baik daripada segmen pembinaan.

 

Bagi 1HFY24, kumpulan itu menyaksikan peningkatan dalam keuntungan bersihnya sebanyak 17% kepada RM71 juta berbanding RM60.8 juta sebelumnya, manakala hasil meningkat 11.5% kepada RM1.26 bilion daripada RM1.1 bilion.

 

RHB Investment berkata, buku tender kumpulan itu berkembang kepada RM13.7 bilion pada akhir suku kedua 2024, meningkat daripada RM9.4 bilion pada akhir suku pertama dan ia mencerminkan tumpuan strategik syarikat pada sektor margin tinggi, terutamanya pusat data serta kemudahan berkaitan semikonduktor.

 

Katanya, peningkatan buku tender sebahagian besarnya disebabkan oleh peluang baharu dalam projek pusat data dan kumpulan itu juga sedang giat meneruskan bidaan untuk kemudahan berkaitan semikonduktor, walaupun ia masih belum memperoleh sebarang kontrak dalam sektor ini.

 

"Kumpulan itu mengalihkan tumpuannya daripada kemudahan pergudangan, kerana pusat data dan projek semikonduktor biasanya menawarkan margin keuntungan yang lebih sihat berbanding dengan pergudangan. 

 

"Sektor-sektor ini dijangka menghasilkan margin lebih tinggi sedikit daripada margin keuntungan kasar agregat antara 5% hingga 8%," katanya.

 

"Dengan pekerjaan baharu bernilai RM3.5 bilion yang diperolehi setakat ini pada FY24, Sunway Construction melihat sasaran penambahan kerjanya sebanyak RM4.5 bilion mamp dicapai, terutamanya dengan peningkatan bilangan penyedia pusat data hiperskala memasuki pasaran Malaysia," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga RM5.50 sesaham. - DagangNews.com