Pendapatan Supercomnet Technologies dijangka lebih kukuh pada 2HFY23 didorong pelancaran produk baharu – Malacca Securities | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Supercomnet Technologies dijangka lebih kukuh pada 2HFY23 didorong pelancaran produk baharu – Malacca Securities

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Pendapatan Supercomnet Technologies Bhd (Scomnet) dijangka lebih kukuh pada separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23) didorong pelancaran produk baharu dalam segmen perubatan.

 

Malacca Securities berkata keuntungan bersih bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2023 susut 14.8% tahun ke tahun (YoY) kepada RM14.3 juta, yang kurang daripada anggaran tahun penuhnya pada 36.6% dan konsensus sebanyak 37.8%, dianggap sejajar memandangkan Scomnet dijangka lebih kukuh pada 2HFY23.

 

“Kami menganggap bahawa margin bersih mungkin kekal pada tahap semasa bagi 2HFY23 apabila isu produk, yang telah diluluskan oleh FDA, diterima dalam keadaan rosak daripada pembekal telah selesai.

 

“Memandangkan pendapatan yang dilaporkan dianggap dalam jangkaan, kami tidak membuat perubahan pada ramalan pendapatan kami, dengan menjangkakan keputusan yang lebih kukuh dalam 2HFY23,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Justeru, firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM1.90  sesaham.

 

Antara risiko kepada saranan firma tersebut adalah kelewatan memperoleh kelulusan FDA bagi pelancaran produk baharu yang boleh menjejas prospek pertumbuhan pendapatan baharu; kos bahan mentah tidak menentu boleh menjejaskan margin di mana kos bahan menyumbang kira-kira 50% daripada kos pengeluaran Scomnet; dan pendedahan kepada risiko pertukaran mata wang asing kerana kebanyakan produk mereka dijual dalam dolar Amerika Syarikat.

 

Melangkah ke hadapan, firma itu berkata segmen perubatan (69% daripada jumlah hasil dalam 2QFY23) dijangka menjadi teras kepada sumbangan keseluruhan, berdasarkan pengenalan dan pengkomersilan produk baharu dalam perancangan.

 

“Sementara itu, sumbangan segmen automotif dijangka meningkat, didorong pembekalan abah-abah wayar dan tangki bahan api untuk model Peugeot 5008, 3008 dan 2008 kepada Stellantis dengan penghantaran dijangka bermula pada September 2023 dan seterusnya,” tambahnya.

 

Setakat akhir 2QFY23, Malacca Securities berkata Scomnet terus mengekalkan kunci kira-kira sihat dengan sifar pinjaman dan kedudukan tunai RM62.3 juta, sementara turut beroperasi dalam kedudukan aliran tunai operasi bersih.

 

Susulan memindahkan penyenaraiannya ke Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 21 Ogos, firma itu berkata ia membuktikan prestasi kewangan Scomnet yang kukuh dan langkah itu mungkin meraih minat yang lebih besar daripada pelabur institusi.

 

Setakat pukul 12:07 tengah hari ini, saham Scomnet susut 5 sen atau 3.7% kepada RM1.31 dengan permodalan pasaran berjumlah RM1.03 bilion. - DagangNews.com