Pendapatan T7 Global meningkat 41% kepada RM93.31 juta bagi Q4FY21 | DagangNews Skip to main content

Pendapatan T7 Global meningkat 41% kepada RM93.31 juta bagi Q4FY21

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Feb - T7 Global Berhad mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 41% kepada RM93.31 juta bagi 4QFY21 berbanding RM65.97 juta bagi suku yang sama tahun lalu hasil sumbangan daripada bahagian tenaga.

 

Jumlah keuntungan bersih mereka meningkat sebanyak 20 kali ganda kepada RM55.5 juta daripada RM0.27 juta tahun lalu, manakala pendapatan sesaham meningkat daripada 0.85 sen daripada 0.09 sen yang direkodkan pada 4QFY20.

 

Prestasi cemerlang syarikat itu didorong oleh pelaksanaan kerja yang lebih tinggi berkaitan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pemasangan dan pentauliahan (EPCIC), perkhidmatan telaga bersepadu dan operasi serta penyelenggaraan untuk pelanggan seperti Petronas Carigali Sdn Bhd, Repsol Oil & Gas Malaysia Bhd dan Carigali Hess Operating Company Sdn. Bhd.

 

Bagi tahun kewangan 2021, T7 Global merekodkan keuntungan bersih empat kali ganda kepada RM12.97 juta daripada RM3.08 juta pada FY20 manakala pendapatan syarikat meningkat sebanyak 40% kepada RM264.35 juta daripada RM189.41 juta.

 

Pengerusi T7 Global, Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani N Hassan Thani berkata, syarikat itu berjaya merekodkan pendapatan tertinggi dengan RM264.35 juta sejak lima tahun lalu mengatasi rekod pendapatan RM233.49 juta pada FY19.

 

"Kami juga berjaya merekodkan keuntungan selepas cukai tertinggi iaitu RM12.97 juta pada FY21.

 

"Keputusan cemerlang itu berjaya direalisasikan ekoran kerja keras serta dedikasi kakitangan kami di T7 Global Group," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Nik Norzul berkata, bahagian tenaga kekal sebagai pemacu keuntungan utama bagi syarikat selain berjaya mendapatkan kontrak jangka panjang berkaitan tenaga bernilai RM300 juta berkaitan Bayan Mobile Offshore Production Unit pada Disember 2021.

 

"Kami akan memastikan permintaan terus kukuh untuk penyelesaian tenaga kami yang disokong oleh pandangan positif industri minyak dan gas di rantau dengan minyak mentah Brent kini berada di atas AS$90 (RM376.50) setong.

 

"Projek Bayan Mobile Offshore Production berada di landasan tepat dan kami menjangkakan ia akan ditauliahkan selewat-lewatnya pada suku ketiga 2022, di mana ia akan mula menyumbang secara positif kepada pendapatan syarikat tahun ini.

 

"Bahagian pembinaan kami terus melaksanakan projek yang sedang berjalan seperti Taman Pemprosesan Ikan Endau Mersing," katanya. - DagangNews.com