Pendapatan teras Able Global diramal meningkat kepada RM61.2 juta pada FY24 dipacu penggunaan kilang lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Pendapatan teras Able Global diramal meningkat kepada RM61.2 juta pada FY24 dipacu penggunaan kilang lebih tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Sept - TA Securities meramalkan pendapatan teras Able Global Bhd meningkat sebanyak 22.7% kepada RM61.2 juta pada FY24 didorong kadar penggunaan kilang lebih tinggi.

 

Katanya, ia juga akan dibantu oleh kos bahan mentah utama yang  lebih rendah berbanding FY23.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kenaikan harga tenusu baru-baru ini didorong oleh permintaan global yang semakin meningkat dan inventori yang kurang di negara pengeluar utama.

 

"Sementara itu, kos bahan mentah lain, seperti gula, plat timah dan minyak sawit, dijangka kekal stabil pada 2HFY24.

 

"Secara keseluruhan, kami tidak menjangkakan sebarang kesan ketara pada suku akan datang kerana kumpulan telah memperoleh inventori untuk empat hingga lima bulan akan datang pada harga di bawah kadar pasaran semasa," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Dalam perkembangan berasingan, TA Securities berkata, kumpulan itu merancang untuk membida program susu sekolah suhu ultra-tinggi (UHT) pada bulan akan datang, kerana perjanjian semasa akan tamat pada Disember 2024.

 

Katanya, program itu menyumbang kira-kira RM30 juta setahun kepada segmen makanan dan minuman (F&B), menyumbang 4.4% daripada jualan FY24 kumpulan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengurusan berkongsi bahawa operasi Mexico menguntungkan tanpa memberi kesan kepada pertukaran wang. Selain itu, kadar penggunaan semasa sebanyak 34% dalam 2QFY24 adalah melebihi paras pulang modal 30%.

 

"Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan operasi Mexico akan bertambah baik pada 2HFY24, disokong oleh aktiviti penyimpanan semula daripada pelanggan sedia ada dan sumbangan sulung daripada pelanggan baharu.

 

"Kumpulan itu menyasarkan untuk meningkatkan hasil dengan membekalkan produk kepada Walmart di Amerika Syarikat (AS)," katanya.

 

TA Securities mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM2.57 sesaham. - DagangNews.com