Pendapatan TM susut 2.6% kepada RM3.08 bilion pada 3QFY23 | DagangNews Skip to main content

Pendapatan TM susut 2.6% kepada RM3.08 bilion pada 3QFY23

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Nov – Pendapatan Telekom Malaysia Berhad (TM) susut 2.6% kepada RM3.08 bilion dalam suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) berbanding RM3.15 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, TM berkata pendapatannya menyusut terutamanya disebabkan perkhidmatan suara, data dan perkhidmatan berkaitan telekomunikasi lain.

 

Ini telah diimbangi oleh pendapatan yang lebih tinggi daripada perkhidmatan Internet dan multimedia, mencerminkan pertumbuhan stabil dalam kumulatif pelanggan jalur lebar tetap.

 

Antara tiga segmen perniagaannya, TM One mencatatkan pendapatan operasi luaran yang lebih rendah sebanyak 17% atau RM146.4 juta pada suku semasa kepada RM712.5 juta, berbanding RM858.9 juta pada suku yang sama tahun lepas.

 

Ini disebabkan terutamanya oleh perubahan layanan perakaunan untuk pendapatan perisian, peluang projek pelanggan tertunda dan pelarasan harga untuk kontrak perkhidmatan tertentu.

 

EBIT yang dilaporkan meningkat 19.6% atau RM27 juta kepada RM164.9 juta pada suku semasa daripada RM137.9 juta tahun lepas, walaupun pendapatan lebih rendah, disebabkan kawalan kos yang lebih baik.

 

Bagaimanapun, keuntungan bersih TM melonjak dua kali ganda kepada RM538 juta daripada RM265 juta disebabkan impak cukai yang lebih rendah dan kos kewangan bersih yang berkurangan.

 

 Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata komitmen untuk mengetengahkan perkhidmatan-perkhidmatan konvergens empat serangkai (quad-play convergence), berserta pengenalan pakej-pakej yang menarik dan kompetitif, membolehkan kumpulan itu mengekalkan dan meningkatkan jumlah pelanggan, lantas mengukuhkan lagi portfolio sebagai peneraju konvergens sebenar.

 

“Usaha berterusan kami untuk meningkatkan liputan mudah alih di seluruh negara adalah selari dengan dedikasi kami terhadap keterangkuman, merapatkan jurang digital, dan menerapkan penerimaan digital yang lebih meluas.

 

“Apabila kami memastikan perkhidmatan-perkhidmatan kami boleh diakses oleh semua, kami menyumbang kepada mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih terhubung dan terangkum,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

 

Memandang ke hadapan, TM Global kekal fokus kepada memajukan infrastruktur 5G dan jalur lebar, sambil meluaskan sistem kabel dasar lautnya dan membina kedudukan serantau dalam Rangkaian Penyampaian Kandungan. Ini akan meningkatkan lagi keupayaan edge dan pusat datanya, lantas meletakkan Malaysia sebagai hab digital pilihan untuk ASEAN.  - DagangNews.com