Pendedahan luas dalam sektor semikonduktor, RHB Investment positif terhadap prospek jangka panjang Kelington | DagangNews Skip to main content

Pendedahan luas dalam sektor semikonduktor, RHB Investment positif terhadap prospek jangka panjang Kelington

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jan - RHB Investment positif terhadap prospek jangka panjang Kelington Group Berhad didorong pendedahan luas kumpulan itu dalam sektor semikonduktor.

 

Katanya, kumpulan itu dilihat berjaya mengukuhkan kedudukannya di Asia Timur terutama selepas meraih beberapa projek baharu pada suku keempat tahun lalu di China dan Singapura, menjadikan buku pesanan tertunggak kumpulan kepada RM1.85 bilion berbanding RM1.51 bilion pada September 2023.

 

Berdasarkan jumlah projek itu, Kelington dijangka sibuk bagi tempoh sehingga 18 bulan akan datang.

 

"Kami percaya kontrak terkini kumpulan itu akan menawarkan margin untung kasar yang serupa dengan pekerjaan ketulenan ultra tinggi (UHP) lain sebanyak 20%.

 

"Melangkah ke hadapan, tumpuan pengurusan adalah kepada projek margin yang lebih tinggi dengan pengembangan loji karbon dioksida cecair (LCO2) (fasa ujian dan pentauliahan) yang ditetapkan untuk melonjakkan pendapatan kumpulan.

 

"Ia akan disokong oleh permintaan berterusan daripada Oceania, yang menawarkan margin dua kali ganda lebih tinggi berbanding perniagaan konvensional kumpulan ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Kelington menerusi Kelington Engineering (Shanghai) Co Ltd. dianugerahkan kontrak bernilai RM143 juta daripada faundri semikonduktor terbesar China bagi melaksanakan reka bentuk, perolehan, pembinaan dan pentauliahan sistem sambungan gas di Shanghai.

 

Kontrak itu akan bermula pada bulan ini dan dijangka siap sepnuhnya pada Januari 2026.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kami meningkatkan pendapatan teras antara bagi FY23 hingga FY25 antara 3% hingga 6% selepas mengambil kira margin keuntungan yang semakin tinggi dan momentum pengebilan yang lebih kukuh.

 

Ia mencerminkan prospek kukuh kumpulan selain buku pesanan yang stabil serta pengembangan segmen gas perindustrian dan keseluruhan sentimen pasaran yang lebih baik.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.64 sesaham," katanya.- DagangNews.com