Pendekatan perangi COVID-19 salah, banyak dana dibazirkan | DagangNews Skip to main content

Pendekatan perangi COVID-19 salah, banyak dana dibazirkan

COVID-19

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Pendekatan Malaysia dalam memerangi wabak COVID-19 adalah salah dan membazirkan banyak dana.

 

Pengerusi Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Armin Baniaz Pahamin berkata, perkara tersebut mengakibatkan kemerosotan ekonomi yang lebih berpanjangan.

 

"Belanjawan yang diperuntukkan untuk tahun 2021 adalah untuk peringkat selepas pemulihan iaitu Fasa ke 5; ‘Revitalize’ mengikut pendekatan Strategi 6R iaitu Resolve (Ketegasan), Resilience (Ketahanan), Restart (Memulakan Semula), Recovery (Pemulihan), Revitalize (Menghidupkan Semula) dan Reform (Penyusunan Semula). Situasi negara amat jauh dari fasa Pemulihan

 

"Ini mengakibatkan belanjawan yang disediakan amat rendah peruntukan untuk mengatasi wabak tersebut dan akibatnya, penularan wabak Covid-19 semakin tidak dapat dikawal," katanya dalam satu kenyataan.

 

GEM turut menyahut saranan pakar ekonomi, Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram agar kerajaan menerapkan Dasar Pandang ke Timur dalam memerangi penularan pandemik tersebut.

 

Armin Baniaz Pahamin
Armin Baniaz Pahamin 

 

Jelasnya, walaupun pengisytiharan darurat dibuat, dana negara tidak digunakan secara efektif untuk mencegah wabak berkenaan.

 

Ujian besar-besaran (mass testing) dan pengasingan (quarantine) mereka yang telah diuji dengan keputusan positif walaupun tanpa gejala (symptom) mesti dilaksanakan untuk mengurangkan jumlah kes dan kematian harian.

 

Dengan mengasingkan semua kes positif, proklamasi Darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dapat ditamatkan dengan cepat untuk pemulihan ekonomi, perniagaan dan urusan kerajaan dapat beroperasi sepenuhnya.

 

Katanya, langkah ‘Mass Testing’ dan kuarantin telah berjaya dilaksanakan di China pada puncak penularan wabak dan pendekatan yang sama berhasil dengan baik di Korea Selatan.

 

Bagaimanapun, PKP di Malaysia yang amat longgar dilaksanakan dan mereka yang diuji positif hanya perlu di kuarantin secara kendiri di rumah melainkan jika mengalami simptom.

 

"Kami bimbang tanpa pendekatan yang berkesan oleh kerajaan sekarang, akan mengakibatkan lebih banyak perniagaan akan lingkup, rakyat kebuluran kelaparan dan kemurungan.

 

"Kami menyokong sepertimana yang disarankan oleh tokoh-tokoh ekonomi tersohor negara seperti Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram agar KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong dan dibantu Duli-Duli Tuanku Raja-Raja Melayu mempertimbangkan pelantikan sebuah kerajaan perpaduan sebelum keadaan negara menjadi bertambah parah," tambah beliau lagi. - DagangNews.com