Penempatan saham, perkukuh kedudukan DNeX | DagangNews Skip to main content

Penempatan saham, perkukuh kedudukan DNeX

 

 

KUALA LUMPUR 21 Mei - Dagang NeXchange Berhad (DNeX) mencapai persetujuan pemegang saham bagi ketetapan cadangan penempatan persendirian hingga 30% daripada jumlah saham terbitannya menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa yang berakhir semalam.

 

Dalam kenyataan, DNeX berkata, dana yang dikumpul daripada langkah itu akan disalurkan bagi membiayai cadangan pengambilalihan SilTerra Malaysia Sdn. Bhd. manakala bakinya digunakan untuk pengembangan perniagaan atau pelaburan lain. 

 

Penempatan saham itu akan diterbitkan pada harga tidak lebih daripada 20% kepada harga pasaran purata wajaran 5 hari (VWAP) saham DNeX sebelum tarikh penetapan harga.

 

Cadangan Penempatan Persendirian ini memerlukan terbitan sehingga 891.6 juta saham kepada pelabur pihak ketiga dengan harga terbitan yang akan ditentukan dan diumumkan kemudian.

 

Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, asas modal saham yang diperbesarkan dan rizab tunai akan meletakkan DNeX pada kedudukan lebih kukuh memandangkan kumpulan secara agresif berkembang sebagai penyedia penyelesaian teknologi yang kompetitif di pasaran global.
 

Katanya, hasil yang diperoleh menerusi langkah itu membolehkan kecairan dan fleksibiliti dalam meneruskan peluang pelaburan menarik yang berpotensi membuka lebih banyak nilai kepada kumpulan.

 

"Kami akan meneroka aset berkaitan teknologi yang boleh memberi kelebihan sinergi kepada kumpulan supaya dapat mencapai kesan berlipat ganda kepada pelaburan yang kami laksanakan. 

 

"Dengan dana ini juga, kami turut mengalu-alukan lebih ramai pelabur strategik yang bukan sahaja boleh menyediakan tambahan dana tetapi memberi nilai tambah bagi mempercepatkan langkah pengembangan kumpulan," katanya. 

 

Pada 31 Mac lalu, DNeX dan Beijing Integrated Circuit Advanced Manufacturing and High-End Equipment Equity Investment Fund Center (CGP Fund) memeterai perjanjian jual dan beli saham bersyarat (SSPA) dengan Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah).

 

Ia bagi membolehkan DNeX dan CGP Fund memperoleh 100 peratus kepentingan dalam SilTerra Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Khazanah pada harga RM273 juta.

 

Berdasarkan kepada SSPA itu, DNeX akan memperoleh 60% kepentingan ekuiti dalam SilTerra sementara CGP Fund akan memperoleh baki 40% kepentingan ekuiti. 

 

Pertimbangan pembelian untuk 60% kepentingan DNeX bernilai sekitar RM163.8 juta, yang akan dibiayai melalui gabungan hasil yang akan diperoleh dari cadangan penempatan persendirian, secara dana dalaman dan atau pinjaman.

 

DNeX dan CGP Fund juga akan melaksanakan suntikan modal sekitar RM200 juta dengan melanggan saham biasa baharu yang akan diperuntukkan dan diterbitkan oleh SilTerra. - DagangNews.com