KUALA LUMPUR 27 Jan - Orang ramai boleh menempah penerbangan AirAsia ke Phnom Penh, Kemboja dengan harga serendah RM194 untuk sehala bermula sekarang dan 23 Mac 2022.
Tempahan boleh dibuat dengan menekan ikon Flights di aplikasi airasia Super App, selain boleh mendapatkan tawaran pakej penerbangan dan hotel dengan diskaun sehingga 30% dengan menekan ikon SNAP.
AirAsia menyambung semula penerbangannya ke Phnom Penh selepas pengumuman penyambungan semula penerbangan ke Phnom Penh dari Kuala Lumpur pada bulan lepas.
Penerbangan pertama menggunakan pesawat Airbus A320 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada pukul 12.40 tengah hari melalui penerbangan AK 538 telah dihantar oleh Ketua Komersial, Nur Liyana Mahizzan.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, Phnom Penh merupakan salah satu destinasi pelancongan popular untuk AirAsia sebelum ini dan pihaknya teruja untuk memulakan kembali penerbangan sulung dari Kuala Lumpur selepas hampir dua tahun.
"Kami berbesar hati dengan sambutan yang memberangsangkan dan ia menandakan permintaan perjalanan antarabangsa yang kukuh. Justeru, kami menjangka permintaan perjalanan akan terus meningkat apabila sekatan sempadan antarabangsa dibuka.
“AirAsia berbangga menyokong inisiatif kerajaan Kemboja dan kami berharap melancarkan lebih banyak penerbangan ke negara itu tidak lama lagi. Daripada segi operasi, kami bersedia secara menyeluruh demi keselamatan dan kesejahteraan para tetamu," katanya dalam satu kenyataan.
Para pelanggan divaksin sepenuhnya dari Malaysia ingin melancong ke Kemboja perlu memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh Kerajaan Kemboja sebelum menempah penerbangan mereka dan semasa ketibaan.
Rakyat Malaysia juga boleh menempah penerbangan sulung untuk tiga laluan domestik baharu pada minggu ini, iaitu Pulau Pinang ke Sibu yang bermula hari ini, Johor Bahru ke Bintulu (esok) dan Kota Kinabalu ke Kuala Terengganu pada Ahad ini.
AirAsia memanfaatkan tempoh sekatan perjalanan selama 20 bulan lalu untuk menaik taraf dan memperbaharui prosedur penerbangannya demi keselamatan dan kesejahteraan para pelanggan dan kakitangannya.
AirAsia hanya akan menerima pelanggan divaksin sepenuhnya dalam penerbangannya dan memastikan semua penerbangan dikendalikan juruterbang dan kru kabin divaksin sepenuhnya, begitu juga kakitangan operasi dan pengendali bagasi di terminal. - DagangNews.com