Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 18 Feb. - Eksport produk sarung tangan getah ke Amerika Syarikat (AS) adalah yang tertinggi pada kadar satu pertiga (33.9%) pada tahun 2020.
MIDF Research berkata, jumlah tersebut sekali gus mengatasi pasaran utama lain yang hanya pada kadar rendah iaitu Jerman (6.3%), Jepun (5.8%), UK (5.5%) dan China (4.7%).
"Disebabkan permintaan yang tinggi terhadap sarung tangan getah susulan penularan pandemik COVID-19, eksport ke sepuluh destinasi teratas dilihat meningkat pada 2020.
"Pertumbuhan tertinggi dicatatkan oleh kebanyakan negara-negara Eropah iaitu Sepanyol (meningkat 243.2%), UK (meningkat 207.3%) dan Belanda (meningkat 204.9%) berbanding tahun sebelumnya.
"Eksport sarung tangan getah ke negara China dan AS turut melonjak apabila masing-masing meningkat sebanyak 139.2% dan 81% tahun ke tahun," jelas MIDF Research.
Produk berasaskan getah menjadi penyumbang peratusan tertinggi sebanyak 1.8% kepada eksport keseluruhan negara pada 2020.
Sumbangan tersebut mendorong Malaysia untuk mencatatkan kadar eksport yang lebih baik berbanding negara-negara ASEAN-5 lain pada tahun 2020.
Daripada produk getah tersebut, hampir 80% jumlah eksport tersebut adalah melibatkan sarung tangan getah.
Baca: Sarung tangan getah kekal pacu eksport 2021?
Dalam pada itu, MIDF Research memberitahu, jumlah eksport keseluruhan yang kukuh ke AS adalah salah satu sebab jumlah eksport Malaysia menguncup sedikit pada kadar -1.4% pada 2020 berbanding tahun sebelumnya.
Ujar firma penyelidik itu lagi, ini kerana ia telah mengurangkan kesan buruk permintaan yang rendah dari negara-negara utama lain terutamanya negara-negara ASEAN terhadap produk Malaysia.
Bagaimanapun, produk berasaskan elektrik dan elektronik (E&E) terus mendominasi jumlah eksport ke AS pada kadar 48.5%, diikuti produk getah sebanyak 11.7%.
MIDF Research memberitahu, pertumbuhan eksport sarung tangan getah ke AS pada 2020 adalah lebih tinggi berbanding empat tahun lalu. - DagangNews.com