Penerimaan mata wang kripto, aset digital dalam sektor kewangan Islam antara fokus di GIFF2022 | DagangNews Skip to main content

Penerimaan mata wang kripto, aset digital dalam sektor kewangan Islam antara fokus di GIFF2022

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Sept - Topik penggunaan mata wang kripto dan aset digital dalam sektor kewangan Islam akan menjadi antara topik yang menjadi pilihan untuk dibincangkan semasa penganjuran Forum Kewangan Islam Global 2022 (GIFF2022).

 

Pengerusi GIFF2022, Arsalaan Ahmed berkata, topik itu antara lain bertujuan memberikan gambaran yang lebih jelas kepada orang ramai terhadap kedudukan dan penerimaan mata wang itu di dalam sektor kewangan Islam.

 

Katanya, pihaknya akan membawakan ahli panel yang mempunyai kepakaran dalam bidang itu bagi memberikan pandangan untuk orang ramai membuat penilaian sendiri.

 

"Apabila bercakap mengenai mata wang kripto dan aset digital, ia merupakan perkara yang sangat dekat dengan orang muda dan kebanyakan negara Islam termasuk Malaysia memiliki populasi orang muda yang ramai.

 

"Pekara ini akan dibincangkan semasa forum itu, agar orang ramai tahu kemajuan mata wang itu di dalam sektor perbankan Islam selain mereka boleh belajar secara lebih mendalam cara ia beroperasi," katanya dalam sidang media di Menara Bank Islam, di sini hari ini.

 

BACA JUGA: Penggunaan mata wang kripto, aset digital dalam sektor kewangan Islam dijangka terus meningkat

 

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, GIFF2022 merupakan forum global dan ia akan mengambil kira pandangan daripada semua pihak yang terlibat berkenaan isu penggunaan mata wang kripto dan aset digital.

 

giff
Arsalaan Ahmed 

 

Katanya, orang ramai akan diberikan pandangan yang adil daripada pemain ahli panel dan juga pemain-pemain industri terlibat.

 

"Di sini juga mereka dapat melihat sendiri penyesuaian dan amalan terbaik yang digunakan di negara masing-masing," katanya. 

 

GIFF

 

GIFF2022 akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 5 dan 6 Oktober 2022. 

 

Forum selama dua hari bertemakan 'Take the Reins' itu dianjurkan oleh Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) yang antara lain untuk mengukuhkan kedudukan kepimpinan global kewangan Islam.

 

Ahli panel akan berkongsi sudut pandangan syariah berkenaan aset metaverse, mata wang kripto, kelestarian dan teknologi, pewujudan zakat, sedekah dan wakaf bergerak; pemimpin wanita dalam kewangan Islam; serta peluang pelaburan halal yang sedang berkembang pesat.- DagangNews.com