Sabah Development Bank saman Ho Hup atas dakwaan beri pinjaman kepada Golden Wave | DagangNews Skip to main content

Sabah Development Bank saman Ho Hup atas dakwaan beri pinjaman kepada Golden Wave

The Crown, Kota Kinabalu - Gambar dari laman web rasmi Ho Hup
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Sept - Ho Hup Construction Company Bhd dan anak syarikat 75% miliknya, Ho Hup Ventures (KK) Sdn Bhd (HHVKK) telah diserahkan writ saman dan penyata tuntutan oleh Sabah Development Bank Bhd (SDB).

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Ho Hup telah diserahkan writ saman bertarikh 15 Mei 2024 pada 12 Ogos 2024 berhubung pinjaman yang diberikan kepada Golden Wave daripada SDB.

 

Sementara itu, SDB menyaman HHVKK, yang merupakan anak syarikat tidak langsung Ho Hup, dengan kumpulan itu memegang 52.5% saham Golden Wave melalui pemilikannya dalam HHVKK.

 

Saman SDB terhadap Ho Hup dan HHVKK dibuat berikutan permohonan pengurusan kehakiman yang difailkan oleh Golden Wave pada 17 Mei 2024 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. 

 

Pengurusan kehakiman memberikan moratorium kepada semua tuntutan dan saman terhadap Golden Wave. Disebabkan pengurusan kehakiman, SDB menarik balik samannya terhadap Golden Wave pada 30 Julai 2024 tetapi mengekalkan samannya terhadap Ho Hup dan HHVKK.

 

SDB kini menyaman Ho Hup dan HHVKK sebanyak RM46.85 juta (setakat 2 Mei 2024), termasuk faedah tahunan 5% dari 1 November 2023.

 

Golden Wave merupakan pemaju The Crown iaitu pembangunan bercampur di Kota Kinabalu dengan nilai pembangunan kasar RM900 juta yang merupakan usaha sulung Ho Hup memasuki pasaran Sabah.

 

Ho Hup memegang 70% saham dalam Golden Wave melalui HHVKK pada 2015 daripada Agro Padi Sdn Bhd dengan harga RM30 juta, yang membolehkan kumpulan itu membeli pemilikan tanah pajakan komersial seluas lima ekar di Kota Kinabalu.

 

Pada 12 Jun 2018, syarikat memeterai perjanjian kemudahan dengan SDB. Kemudahan itu dipercayai akan digunakan untuk pembangunan projek campuran The Crown, yang dilancarkan pada September 2019.

 

Mengenai saman oleh SDB, Ho Hup sedang berunding dengan penasihat undang-undang untuk mempertahankan diri daripada sebarang tuntutan dan kumpulan itu juga sedang berunding dengan SDB bagi menyelesaikan isu itu.

 

Ho Hup berada dalam keadaan rugi selama lebih dua tahun fiskal. 

 

Kerugian bersihnya meningkat kepada RM19.7 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY2024), berbanding RM1.39 juta setahun lalu, disebabkan oleh penstrukturan semula dan penurunan jualan dalam bahagian pembangunan dan pembinaan hartanah. Hasil turun 68.1% tahun ke tahun kepada RM21.74 juta daripada RM68.13 juta.

 

Sehingga Jun, syarikat itu mempunyai wang tunai dan baki bank sebanyak RM17.2 juta dan jumlah pinjaman sebanyak RM491.8 juta.- DagangNews.com