KUALA LUMPUR 15 Jan - Rancangan Kawan Food Bhd (Kawan Food) untuk menubuhkan usaha sama (JV) dalam peralatan teknologi maklumat (IT) dengan beberapa individu, termasuk pengasas serta pemegang saham utama dan pengerusi semasanya, telah terbatal.
Syarikat itu berkata, perbincangan dihentikan selepas Kawan Food dan Sun Cheng Leng, Huang Er-Wen, Gan Thiam Chai serta Lim Hun Soon @ David Lim gagal mencapai kata sepakat mengenai terma-terma yang dipinda untuk JV tersebut.
"Lembaga pengarah syarikat ingin mengumumkan bahawa semua pihak gagal mencapai persetujuan mengenai terma yang dipinda untuk JV tersebut. Oleh itu, semua perbincangan telah dihentikan," menurut Kawan Food kepada Bursa Malaysia, semalam.
Thiam Chai adalah Pengerusi Emeritus Kawan Food serta pengasas yang mengawal 36.86% pegangan dalam kumpulan tersebut, manakala Hun Soon adalah Pengerusi semasa syarikat.
Beliau juga merupakan ahli lembaga di Press Metal Aluminium Holdings Bhd, TSA Group Bhd dan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas di Public Investment Bank Bhd.
Syarikat pembuat makanan sejuk beku itu dalam satu pengumuman JV pada 6 Disember lalu berkata, anak syarikat milik penuhnya, KG Pastry Marketing Sdn Bhd, telah menandatangani perjanjian JV dengan empat individu tersebut untuk menjalankan perniagaan.
KG Pastry Marketing sepatutnya memiliki pegangan 51% dalam JV itu, diikuti oleh Cheng Leng dengan 30%, Er-Wen dengan 9% dan Thiam Chai serta Hun Soon masing-masing dengan 5%.
JV itu sepatutnya menyaksikan pemerolehan firma perkhidmatan kejuruteraan dan automasi industri, Realtech Automation Sdn Bhd daripada Cheng Leng dengan harga RM2.5 juta.
Beberapa hari kemudian, Kawan Food mengumumkan bahawa pihak-pihak tersebut telah memutuskan untuk merundingkan semula terma perjanjian JV, membatalkan perjanjian yang asal.
Saham Kawan Food ditutup tidak berubah pada RM1.63, menjadikan nilai syarikat sebanyak RM593.38 juta. - DagangNews.com