KUALA LUMPUR 17 Jan - CGS-CIMB Research mengulangi saranan 'pegang' terhadap Duopharma Biotech Bhd. dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.60 selepas menyemak semula unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2022 (FY22).
Ini berikutan pengumuman kerajaan pada Khamis minggu lalu untuk menetapkan harga borong dan runcit maksimum bagi vaksin COVID-19 jenama CoronaVac keluaran Sinovac dan Covilo keluaran Sinopharm berkuat kuasa 15 Januari 2022.
Dengan penetapan harga siling itu, ia menyaksikan harga borong vaksin ditetapkan pada RM49 dengan harga runcit pada RM61 satu dos, tidak termasuk kos perkhidmatan dan penggunaan pakai buang dalam suntikan vaksin.
Penganalisis CGS-CIMB, Sherman Lam Hsien Jin berkata, penetapan harga itu mungkin memberi kesan minimum kepada pendapatan Duopharma bagi FY22.
Ia menyaksikan pendapatan dan pendapatan sesaham (EPS) teras bagi FY22 masing-masing dikurangkan sebanyak 4.3% dan 2% disebabkan pengurangan harga jualan purata bagi vaksin pada RM49 berbanding sebelum itu RM85.
Namun, katanya, anggaran jumlah jualan FY21 dan FY22 masing-masing kekal kukuh pada 50,000 dan 950,000 dos.
"Walaupun, kerajaan pada 26 November lalu berkata bahawa ia akan membuat pengumuman seterusnya mengenai had harga untuk dos penggalak vaksin COVID-19 yang dijual oleh sektor swasta, tetapi perkembangan ini mengejutkan.
"Ini kerana harga siling borong pada RM49 setiap dos untuk vaksin Sinopharm adalah jauh lebih rendah daripada purata harga jualan semasa Duopharma ke pasaran swasta, yang kami dapati berada sedikit di bawah RM100.
"Oleh itu, kami kini menjangkakan unjuran pendapatan sebanyak RM47 juta daripada bekalan vaksin bagi FY22 berbanding sebelum itu sebanyak RM80 juta," katanya dalam nota kajian pada Jumaat.
Hsien Jin juga berpendapat, Duopharma kemungkinan tidak membeli dos vaksin seterusnya daripada Sinopharm.
Selepas semakan semula pendapatan, beliau bagaimanapun menjangkakan EPS teras kumpulan adalah stabil bagi tahun ke tahun pada FY21 sebelum meningkat kepada 6.3% dan 9.1% bagi FY22 dan FY23 didorong pertumbuhan pendapatan yang kukuh dan langkah kawalan kos.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan minggu lalu itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu diambil kerana harga vaksin tinggi dan berbeza di pasaran swasta ketika ini. - DagangNews.com