KUALA LUMPUR 20 Sept - AmInvestment Bank Research menjangkakan pengambilihan tanah Fauzi-Lim Plantation Sdn. Bhd. (FLP) oleh Chin Teck Plantations Berhad (CTP) tidak akan memberi hasil yang signifikan kepada kumpulan.
Firma itu berkata, kos pengeluaran bagi FLP adalah tinggi kesan daripada pengeluaran buah tandan segar (FFB) yang rendah sebanyak 3,250 tan bagi FYE3/22 dengan usia pokok kelapa sawit antara 21 dan 22 tahun.
Katanya, terdahulu FLP mencatat kerugian bersih sebanyak RM0.7 juta pada FYE3/21.
"CTP dilihat memerlukan masa untuk memulihkan ladang FLP dan pengambilalihan itu akan memperluaskan kawasan tanaman CTP sebanyak 17% kepada 12,822 hektar.
"Bagaimanapun memandangkan tanah itu dipajak daripada Yayasan Islam Kelantan, CTP tidak akan memiliki ladang kelapa sawit itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, CTP mengambil alih FLP pada harga RM45 juta secara tunai dan kumpulan itu menjangkakan pengambialihan itu akan memberi mereka peluang untuk meneruskan strategi jangka panjangnya bagi mengembangkan perniagaan perladangannya melalui ladang kelapa sawit brownfield.
Firma itu berkata, bayaran pajakan kepada Yayasan Islam Kelantan bergantung kepada harga minyak sawit mentah semasa (MSM).
Sekiranya harga purata MSM setahun melebihi RM3,500 setiap tan, bayaran pajakan yang dikenakan adalah RM300 bagi setiap ekar dan 3% untuk kenaikan melebihi harga RM3,500.
"Bayaran pajakan adalah RM1.5 juta pada FYE3/22. Berdasarkan kepada harga purata MPOB RM5,600 setiap tan bermula April hingga Ogos 2022 dan kami menjangkakan bayaran itu akan mencecah RM1.8 juta FYE3/23," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga wajar (FV) lebih rendah RM7.55 berbanding RM9.80. - DagangNews.com