Pengambilalihan Peering One kukuhkan keupayaan penyelesaian awan sehenti Maxis | DagangNews Skip to main content

Pengambilalihan Peering One kukuhkan keupayaan penyelesaian awan sehenti Maxis

Maxis Berhad (Maxis)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Julai - Syarikat penyedia penyelesaian konvergen terkemuka di Malaysia, Maxis mengukuhkan kedudukan dengan pengambilalihan Peering One Sdn Bhd (Peering One).

 

Menurut Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Paul McManus, pengambilalihan itu mengukuhkan keupayaan syarikatnya sebagai penyedia penyelesaian awan sehenti dengan penawaran lengkap untuk memenuhi spektrum penuh keperluan perniagaan.

 

“Penyatuan Peering One ke dalam pasukan kami di Maxis adalah tonggak penting dalam perjalanan kami untuk menjadi penyedia penyelesaian awan terbaik untuk pelanggan, dan memperdalam kepakaran domain kami.

 

"Ini mengukuhkan komitmen kami untuk menyokong inisiatif MyDIGITAL Kerajaan untuk mengubah Malaysia menjadi pemimpin serantau dalam ekonomi digital, dan memberi yang terbaik untuk rakyat dan teknologi bagi membolehkan perniagaan dan negara Terus Meneraju,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Peering One merupakan sebuah syarikat penyelesaian awan tempatan yang menumpukan kepada perkhidmatan pengurusan awan hibrid dan persendirian.

 

Syarikat berkenaan juga mempunyai pengalaman lebih dari 10 tahun dalam menyediakan perkhidmatan awan dan ICT kepada pelanggan perusahaan di Malaysia.

 

Keputusan tersebut merupakan pengambilalihan kedua Maxis di ruang awan berikutan kejayaan penyatuan Infrastruktur Consulting & Managed Services (ICMS), Rakan Perniagaan Microsoft Gold dengan kecekapan yang tinggi dalam Azure Cloud Solutions, Modern Workplace and Security, pada April 2020.

 

Mengulas perkara sama, Pengarah Urusan Peering One, Wong Chee Voon memberitahu, syarikatnya telah meraih kekuatan pasaran tempatan sejak 2010 dengan jumlah pelanggan yang luas di pelbagai industri.

 

"Kami amat teruja untuk menyertai Maxis. Dengan kerjasama pasukan dinamik Maxis Business, kami percaya dapat merealisasikan cita-cita bagi memperkasakan lebih banyak perniagaan tempatan untuk memanfaatkan awan demi aspirasi digital," katanya.

 

Maxis kini mampu menyediakan Cloud Managed Services sehenti untuk pelanggan menikmati penjimatan kos awal dengan fleksibiliti meningkatkan keperluan penggunaan awan melalui model ‘bayar-seperti-anda-gunakan’. 

 

Kelebihan tersebut ditambah dengan layanan pemantauan dan sokongan 24x7 melalui Maxis’ Cloud Network Operations Centre (NOC) untuk memastikan pengalaman tanpa bimbang. - DagangNews.com