Pengambilalihan tanah berharga RM47 juta, Kenanga Research unjur perniagaan hartanah HIL Industries meningkat | DagangNews Skip to main content

Pengambilalihan tanah berharga RM47 juta, Kenanga Research unjur perniagaan hartanah HIL Industries meningkat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Nov - Kenanga Research menjangkakan perniagaan hartanah HIL Industries Berhad meningkat terutama selepas cadangan pengambilalihan tanah bernilai RM47 juta di mukim Batu, Kuala Lumpur.

 

Katanya, kumpulan itu memperuntukkan tanah berkeluasan 1.21 hektar itu bagi pembangunan projek kediaman baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) antara RM380 juta hingga RM400 juta.

 

"Kumpulan itu positif terhadap prospek tanah itu kerana lokasinya yang strategik dengan kebolehcapaian melalui pelbagai lebuh raya utama dan dalam persekitaran Sekolah Antarabangsa Garden, Plaza Mont Kiara, 163 Reatil Park, Pusat Beli-belah Hartamas dan Kawasan Komersial Sri Hartamas.

 

"Berdasarkan kepada unjuran untung kasar sebanyak 32%, kami menganggarkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) antara RM121.6 juta hingga RM128 juta dan berdasarkan anggaran projek siap sepenunya dalam empat tahun, projek itu akan menaikkan nilai perniagaan hartanah kumpulan sebanyak 22%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: HIL Industries ambil alih tanah AMMH bernilai RM47 juta di Kuala Lumpur

 

Terdahulu, cadangan pengambilalihan itu akan disempurnakan secara tunai, perolehan itu akan membolehkan HIL Industries menambah semula simpanan tanah dan projek pembangunan hartanahnya memandangkan projek yang sedang berjalan akan siap.

 

Cadangan pengambilalihan itu dijangka menambah simpanan tanah sedia ada kumpulan daripada kira-kira 22.86 hektar kepada 24.08 hektar tersedia untuk pembangunan.

 

Sementara itu, firma penyelidikan berhati-hati terhadap prospek sektor hartanah memandangkan kadar gadai janji yang tinggi manakala pinjaman hartanah oleh bank kekal terhad. 

 

Katanya, pengguna juga boleh menangguhkan pembelian hartanah di tengah-tengah inflasi yang tinggi yang menjejaskan pendapatan boleh guna mereka.

 

"Kami mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) 87 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com