Pengambilalihan Txtsy oleh Evenesis tawar penyelesaian penganjuran acara maya, fizikal untuk perniagaan | DagangNews Skip to main content

Pengambilalihan Txtsy oleh Evenesis tawar penyelesaian penganjuran acara maya, fizikal untuk perniagaan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Dis - Syarikat teknologi pengurusan acara terkemuka di rantau ini, Evenesis telah mengumumkan penyempurnaan pengambilalihan syarikat pemula teknologi Malaysia, Txtsy Sdn Bhd, pakar dalam bidang penganjuran acara dalam dan luar talian bersepadu sepenuhnya pada bulan lepas.

 

Langkah pengambilalihan itu tercetus daripada matlamat untuk menawarkan penyelesaian perniagaan yang dipertingkatkan untuk syarikat-syarikat di rantau ini, yang merangkumi penganjuran persidangan dalaman hinggalah kepada pameran perdagangan berskala besar.

 

Pengambilalihan Txtsy membolehkan Evenesis melebarkan lagi sayapnya di rantau ini dan memberikan perkhidmatannya kepada penganjur acara dengan lebih baik menerusi kombinasi pengalaman dalam industri pameran dan persidangan yang dimiliki oleh kedua-dua syarikat itu.

 

Evenesis ketika ini menawarkan 12 produk dan perkhidmatan digital yang berkaitan dengan teknologi acara, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pusat sehenti untuk pemegang taruh acara menerusi penyediaan sistem penganjuran acara hujung ke hujung yang serba lengkap.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Evenesis, Yusno Yunos, pengambilalihan ini bakal mengisi kelompangan dalam industri Mesyuarat, Insentif, Persidangan, dan Pameran (MICE) atau industri acara perniagaan.

 

"Ini membolehkan kami meningkatkan lagi penawaran acara maya, hibrid, dan fizikal kami menerusi penggabungan kekuatan Txtsy dalam bidang pameran perdagangan dan kekuatan Evenesis dalam bidang persidangan dalam dan luar talian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pengasas Txtsy, SY Chan berkata, beliau menyedari wujudnya keperluan dalam pasaran untuk proses pendaftaran cekap yang diupayakan oleh teknologi dan telah memulakan syarikatnya bagi menyediakan penyelesaian terhadap keperluan itu. 

 

 

evenesis

 

 

"Dengan menggabungkan teknologi kami, kami dapat menawarkan kepada penganjur acara bantuan yang diperlukan bagi menyampaikan pengalaman dan produk yang berkualiti dengan cekap dan lestari," katanya.

 

Chan akan menyertai Evenesis sebagai Pengarah Pembangunan Perniagaan yang memikul tanggungjawab mengembangkan lagi perniagaan kami di rantau ini.

 

Evenesis merancang untuk menambah lebih banyak lagi rakan serantaunya dalam tempoh beberapa tahun akan datang menerusi Program Rakan Kongsi Bertauliah Evenesis (ECPP) yang memberikan pengiktirafan kepada rakan acara atas keupayaan mereka untuk menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan Evenesis secara terus kepada pelanggan mereka. 

 

 

evenesis
SY Chan (kiri) dan Yusno Yunos

 

 

Syarikat itu juga akan terus menambah baik pengalaman acara dengan menggabungkan komponen pembelajaran mesin dan realiti lanjutan (XR) yang akhirnya membawa kepada penggabungan dengan Metaverse. 

 

Pada 2023, Evenesis berharap untuk mengumpulkan dana bagi membolehkan syarikat itu terus berkembang di peringkat serantau dan global. - DagangNews.com