Penganalisis antarabangsa saran Malaysia laksana semula GST turunkan defisit | DagangNews Skip to main content

Penganalisis antarabangsa saran Malaysia laksana semula GST turunkan defisit

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Para penganalisis dari firma penyelidikan ASEAN, ASEAN+3 Macroeconomic Research Office (AMRO) menyarankan Malaysia untuk mempertimbangkan pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) mungkin pada kadar awal kurang daripada 6% menjelang tahun 2022. 

 

Ini susulan bebanan hutang negara yang kian meningkat ekoran suntikan fiskal besar ketika pandemik COVID-19 menunjukkan kepentingan untuk menyimpan penimbal fiskal bagi jangka masa sederhana. 

 

Jelas AMRO, pembaharuan untuk memperluas dasar cukai diperlukan bagi menurunkan defisit dan membimbing hutang kerajaan kembali ke had undang-undang sebelum pandemik sebanyak 55% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2023. 

 

“Malaysia mengunjurkan penurunan defisit fiskal 6% daripada KDNK kepada 4% menjelang 2023, dibantu oleh penghentian semula secara beransur-ansur pakej rangsangan dan menambah baik hasil fiskal. 

 

“Melangkah ke hadapan, langkah mempertahankan momentum dasar untuk menjaga kesejahteraan rakyat dan menghidupkan kembali ekonomi, meningkatkan produktiviti, dan memulihkan kemampanan fiskal akan menyokong dinamik dan keterangkuman ekonomi ketika norma baharu pasca pandemik,” kata AMRO dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Ini merupakan dapatan daripada penilaian awal oleh AMRO selepas Rundingan Tahunan secara maya bersama-sama pihak berkuasa Malaysia bermula 16 November hingga 4 Disember baru-baru ini. 

 

Wakil dari AMRO diketuai oleh Ahli Ekonomi Utama AMRO, Dr. Sumio Ishikawa; Pengarah AMRO, Toshinori Doi dan Ketua Ekonomi, Hoe Ee Khor yang terlibat dalam perjumpaan dasar itu. 

 

Perbincangan itu menumpu ke arah tindak balas Malaysia terhadap krisis kesihatan dan ekonomi berterusan serta keperluan pertimbangan dasar untuk mewujudkan pemulihan berpanjangan pada masa hadapan. 

 

Untuk rekod, ekonomi Malaysia menghadapi pemulihan kukuh tetapi tidak sekata susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara pada Mac dan April lalu. 

 

Peningkatan semula kes jangkitan COVID-19 telah melemahkan momentum pemulihan negara memasuki suku terakhir 2020. 

 

Dalam pada itu, sejajar ramalan yang dibuat kerajaan, Ishikawa menjangkakan ekonomi Malaysia bakal menguncup 5.5% pada tahun ini. 

 

Ujarnya, ekonomi negara bakal pulih dengan kukuh sebanyak 7% menjelang tahun hadapan. 

 

“Malaysia berada dalam kedudukan kukuh untuk menerima manfaat daripada pemulihan ekonomi global yang dipacu vaksin, memandangkan simpanan domestik mencukupi, ekonomi berpelbagai dan sistem perbankan yang mantap,” katanya dalam kenyataan sama.

 

Tambah AMRO, selepas ekonomi negara menjunam pada suku kedua lalu, ekonomi melonjak semula dengan kukuh memasuki suku ketiga apabila pengeluaran berjaya memenuhi permintaan tertangguh.

 

Kata firma penyelidik itu, walaupun terdapat sekatan pergerakan memasuki suku akhir, namun segmen isi rumah dan perniagaan tetap menyokong aktiviti ekonomi. 

 

Mengulas mengenai dasar kewangan negara, AMRO percaya Belanjawan 2021 mampu melanjutkan pakej rangsangan memasuki tahun 2021 sebagai langkah memperkukuh pemulihan selain menjadi asas ekonomi mantap. 

 

“Belanjawan itu menyalurkan peruntukan bagi pemindahan tunai berterusan kepada golongan berpendapatan rendah, pengecualian cukai dan skim intensif pengekalan serta pengambilan pekerja selain meningkatkan perkhidmatan kesihatan termasuk ketersediaan vaksin COVID-19.

 

“Dalam masa sama, keadaan monetari yang diberikan kelonggaran agresif penting dalam mengekalkan keadaan pembiayaan yang teratur. 

 

“Sekiranya pemulihan tidak stabil, adalah wajar untuk mengekalkan kadar dasar semasa 1.75% yang sememangnya merupakan tahap terendah,” tambah AMRO.

 

Dalam pada itu, kedudukan luaran Malaysia kekal kukuh disokong oleh lebihan berterusan dalam akaun semasa dan aliran masuk pelaburan langsung asing.

 

Jelas AMRO, kemasukan semula modal asing sejak tekanan dana dolar Amerika Syarikat (AS) pada Mac, terutamanya ke pasaran hutang bermula Mei hingga Oktober telah memperkukuh simpanan penimbal Bank Negara Malaysia (BNM) dan keseluruhan kedudukan luaran. - DagangNews.com