Penganalisis : ApexH mungkin raih keuntungan rendah daripada kontrak edar vaksin COVID-19 di Singapura | DagangNews Skip to main content

Penganalisis : ApexH mungkin raih keuntungan rendah daripada kontrak edar vaksin COVID-19 di Singapura

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Penganalisis percaya perolehan kontrak pengedaran vaksin COVID-19 di Singapura berkemungkinan mendatangkan sumbangan keuntungan yang sangat kecil buat Apex Healthcare Berhad (ApexH) buat masa ini.

 

Ini susulan pada peringkat awal ini, jumlah pengedaran vaksin itu masih rendah, menurut firma penyelidikan, PublicInvest Research. 

 

“Walaupun kami menjangkakan ApexH dapat meraih margin keuntungan satu digit pertengahan hingga tinggi daripada pengedaran vaksin COVID-19 ini, namun kami percaya sumbangan keuntungan buat kumpulan sangat rendah kerana jumlah pengedaran yang sedikit semasa tempoh awal. 

 

“Oleh itu, kami mengekalkan unjuran perolehan untuk tahun kewangan 2021 (FY21) hingga FY23. 

 

“Kami mengekalkan penarafan ‘underperform’ ke atas ApexH dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM2.35,” jelas firma itu dalam satu nota kajian. 

 

ApexH mengumumkan bahawa anak syarikatnya di Singapura telah memeterai perjanjian dengan Innova BioMedical Pte Ltd (Innova) pada 31 Ogos lalu untuk membekalkan vaksin Sinopharm kepada klinik dan hospital swasta di negara berkenaan. 

 

Memandangkan 80% daripada populasi di Singapura telah lengkap divaksin, Kementerian Kesihatannya kini membenarkan sektor penjagaan kesihatan swasta untuk mengimport dan mengedarkan vaksin COVID-19 lain. 

 

Berdasarkan perjanjian tersebut, Innova akan membekalkan vaksin Sinopharm kepada ApexH untuk dijual dan diedarkan dengan kuantiti pengedaran awal melibatkan 31,600 dos serta dijangka tiba pada pertengahan bulan ini.

 

Di sebalik unjuran sumbangan keuntungan yang rendah, PublicInvest mengalu-alukan perkembangan tersebut kerana ini menandakan kontrak pengedaran vaksin COVID-19 pertama ApexH selepas kumpulan menembusi segmen pengedaran rantaian sejuk, tahun lalu.

 

“Walaupun terdapat kemungkinan lebih banyak jualan akan diraih daripada rancangan suntikan vaksin COVID-19 tambahan, kami fikir ini masih di peringkat awal untuk kempen tersebut dilancarkan dalam masa terdekat. 

 

“Kami berpendapat pihak berkuasa kesihatan mungkin memerlukan lebih masa untuk mengumpulkan dan mengkaji data berkaitan yang melibatkan keselamatan dan keberkesanan semua vaksin COVID-19. 

 

“Dalam pada itu, mengambil kira 80% populasi Singapura telah divaksin, mungkin terdapat persaingan pembekalan dan prospek harga siling, oleh itu kami fikir sumbangan daripada jualan dan pengedaran vaksin COVID-19 buat masa ini tidak penting,” jelas firma itu lanjut. - DagangNews.com