Penganalisis kurangkan unjuran pendapatan MR DIY, sahamnya masih diniagakan rendah | DagangNews Skip to main content

Penganalisis kurangkan unjuran pendapatan MR DIY, sahamnya masih diniagakan rendah

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Meskipun mencatat prestasi kewangan yang baik bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2021, namun prospek MR DIY Group (M) Bhd dilihat masih 'suram' susulan sekatan pergerakan yang masih dilaksanakan ketika ini terutama di Lembah Klang. 

 

Untung bersih peruncit pembaikan rumah terbesar Malaysia itu meningkat 44% kepada RM82.1 juta pada suku tersebut berbanding tempoh sama tahun lalu dengan pendapatan melonjak 47% kepada RM759.8 juta.

 

Bagaimanapun, pencapaian MR DIY pada suku kedua itu dilihat tersasar daripada unjuran yang dibuat oleh firma-firma penyelidikan sebelum ini. 

 

Malah, sahamnya juga antara yang tercorot dalam dagangan awal pagi ini dengan merosot lebih 1%. Setakat 10.41 pagi ini, saham MR DIY diniagakan pada RM3.36 susut 2 sen dengan 1.96 juta saham diniagakan.

 

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Syifaa’ Mahsuri Ismail berkata, untung bersih suku kedua menurun 34.3% suku ke suku, tetapi meningkat 44% tahun ke tahun, menjadikan separuh pertama berjumlah RM207 juta.

 

"Tetapi, jangkaan ini tersasar daripada unjuran kami dan konsensus iaitu 43.5% dan 40%. 

 

"Untuk itu, kami mengurangkan jangkaan pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan 2021, 2022 dan 2023 masing-masing kepada -10.4%, -5.8% dan -5.7% dengan mengambil kira tempoh sekatan yang masih berterusan hingga kini," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham MR DIY tetapi merendahkan harga sasaran kepada RM4.51 berbanding RM4.79 sebelum itu.

 

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MR DIY, Adrian Ong berkata, kumpulan menyasarkan untuk membuka 82 cawangan baharu membabitkan semua 3 jenamanya pada separuh kedua tahun ini.

 

Kumpulan turut menyaksikan pertumbuhan bersih 93 cawangan bagi jenamanya iaitu MR DIY, MR TOY dan MR DOLLAR pada separuh pertama 2021 yang mana meningkat 13% berbanding Disember 2020.

 

Kebanyakan penambahan cawangan baharu adalah bagi jenama MR DIY. Jumlah keseluruhan cawangan bagi kumpulan adalah 827 cawangan setakat 30 Jun 2021.

 

"Kami menjangkakan langkah pengembangan cawangan dan strategi atas talian serta kerjasama dengan Touch n Go akan meningkatkan lagi keuntungan kumpulan selepas langkah sekatan ini dilonggarkan," jelas Syifaa’ Mahsuri. 

 

Sementara itu, CGS-CIMB mengulangi saranan 'tambah' bagi saham MR DIY dengan harga sasaran pada RM4.25 sejajar dengan pengurangan unjuran pendapatan antara 2.6 hingga 7.5% bagi tahun kewangan 2021-2023.

 

Penganalisisnya, Syazwan Aiman Sobri berkata, jumlah pelanggan yang mengunjungi cawangannya akan menjadi kunci utama kepada penarafan semula kumpulan.

 

"Kami melihat MR DIY akan meraih momentum pendapatan yang lebih kukuh dan pembukaan cawangan apabila sekatan pergerakan ini dilonggarkan beberapa bulan akan datang," katanya. 

 

AmInvestment Bank Research juga mengurangkan unjuran pendapatan MR DIY bagi tahun kewangan 2021, 2022 dan 2023 masing-masing kepada 21%, 11% dan 7%. 

 

"MR DIY telah mengurangkan unjuran pembukaan cawangannya bagi tahun ini kepada 175 berbanding 200 sebelum ini disebabkan kerja-kerja pembinaan yang tertangguh ekoran pandemik COVID-19.

 

"Malah, kumpulan juga menangguhkan sementara pengembanga MR TOY dan MR DOLLAR, bagi menjana pendapatan dari stor MR DIY," katanya. 

 

Firma itu berkata, kos input dan pengangkutan yang lebih tinggi dijangka dapat mengurangkan margin keuntungan pada suku akan datang.

 

Ia bagaimanapun mengekalkan saranan 'beli' bagi saham MR DIY dengan harga saksama disemak semula lebih rendah kepada RM4.06 berbanding RM4.48. - DagangNews.com