Penganalisis optimis pasaran buruh kembali pulih tahun ini | DagangNews Skip to main content

Penganalisis optimis pasaran buruh kembali pulih tahun ini

KUALA LUMPUR 9 Feb - Penganalisis optimis kadar pengangguran akan bertambah baik tahun ini berbanding 4.6% pada 2021 apabila ekonomi negara semakin pulih. 

 

Kenanga Research mengunjurkan pasaran buruh akan mencatat pemulihan yang perlahan dan mungkin mencapai anggaran 3.9% pada tahun ini.

 

Malah, katanya, ia juga mencapai tahap guna tenaga penuh sejajar dengan pemulihan yang meluas dalam kebanyakan sektor ekonomi.

 

"Pasaran buruh mungkin mengalami pemulihan yang tidak sekata dalam tempoh terdekat berikutan peningkatan kes COVID-19 yang dibawa oleh varian Omicron. 

 

"Namun begitu, impaknya mungkin tidak seteruk seperti 2020, memandangkan kadar populasi vaksin yang tinggi dan kempen penggalak vaksin yang agresif," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia semalam menunjukkan pasaran buruh negara semakin pulih pada Disember 2021 dengan mencatatkan kadar pengangguran yang lebih rendah pada 4.2% dengan 687,600 penganggur manakala guna tenaga terus meningkat.

 

Menjelang akhir 2021, ia menyaksikan bilangan tenaga buruh meningkat sebanyak 31,500 orang atau 0.2% kepada 16.34 juta orang.

 

Oleh itu, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada Disember 2021 meningkat kepada 69%, iaitu tertinggi yang direkodkan sejak Januari 2020. 

 

 

Baca : Kadar pengangguran 2021 pada 4.6% tertinggi sejak 1993

 

 

Situasi itu memberi isyarat bahawa orang ramai semakin optimis terhadap pasaran buruh, sekali gus mendorong mereka untuk mencari pekerjaan.

 

Secara keseluruhan, kadar pengangguran pada 2021 naik kepada 4.6% berbanding 4.5% pada 2020, sekali gus menjadikan kadar pengangguran tertinggi sejak 1993. 

 

Sementara itu, MIDF Research mengunjurkan kadar pengangguran tahun ini sekitar 4% disokong pemulihan ekonomi di peringkat domestik, momentum perdagangan global dan harga komoditi yang tinggi. 

 

"Dengan kadar vaksinasi yang sangat tinggi, kami tidak menjangkakan Malaysia akan melaksanakan langkah sekatan yang ketat khususnya penutupan seluruh negara pada tahun ini.

 

"Jika ini dilaksanakan, ia akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi domestik dan pemulihan dalam pasaran buruh," jelasnya. 

 

Setakat ini, kadar vaksinasi lengkap di Malaysia hampir mencecah 80% daripada jumlah populasi manakala penerima dos ketiga berada pada paras 38.2%.

 

Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, prospek pemulihan pasaran buruh kekal optimistik memandangkan aktiviti ekonomi hampir dibuka sepenuhnya di seluruh negara. 

 

Katanya, cabaran akan terus wujud daripada penularan penyebaran varian baharu COVID-19 yang merebak dengan sangat pantas. 

 

"Pemberian dos penggalak yang dipercepatkan, kemasukan ICU yang menurun dan kapasiti penjagaan kesihatan yang terurus membolehkan aktiviti ekonomi menjadi normal dan memberikan sokongan selanjutnya kepada pemulihan pasaran buruh," jelasnya. - DagangNews.com