KUALA LUMPUR 10 Ogos - Firma-firma penyelidikan menurunkan harga sasaran Hartalega Holdings Bhd. selepas menyemak semula unjuran untung bersih syarikat pengeluar sarung tangan getah itu berikutan prestasi kewangan yang mengecewakan pada suku pertama berakhir 30 Jun 2022.
Pada suku berkenaan, untung bersihnya merudum 96% kepada RM88.28 juta daripada RM2.26 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya apabila pendapatannya pada suku berkenaan merosot merosot 78.3% kepada RM845.67 juta daripada RM3.9 bilion.
Penurunan itu terutamanya disebabkan normalisasi harga jualan purata (ASP) dan penurunan jumlah jualan sebanyak 28%, berbanding suku pertama tahun sebelumnya apabila kedua-dua ASP dan permintaan mencecah rekod tertinggi ketika pandemik COVID-19
Menurut MIDF Research, kadar penggunaan dan pengeluaran sarung tangan getah yang lebih tinggi pada masa akan datang mungkin akan terus memberi tekanan kepada ASP.
Katanya, Hartalega memberi keutamaan untuk meningkatkan kadar penggunaan dalam tempoh terdekat, dengan sasaran 75% pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23), berbanding kadar penggunaan purata industri pada 50%.
Namun, firma itu percaya harga dan pemampatan margin akan berterusan sehingga FY23 apabila permintaan pelanggan semakin lemah disebabkan lebihan stok dan pengubahsuaian inventori serta persaingan sengit dalam industri sarung tangan global.
"Oleh itu, kami mengurangkan unjuran untung bersih bagi FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 29.1% dan 19.6% selepas mengambil kira jumlah kapasiti yang mendatar sebanyak 42 bilion keping sarung tangan getah dalam tempoh berkenaan.
"Susulan itu, kami juga mengurangkan anggaran ASP bagi FY23 dan FY24 masing-masing kepada purata
AS$23.5 dan AS$24 per 1,000 keping, sedikit mengatasi paras sebelum pandemik pada AS$21 hingga AS$23," katanya dalam nota kajian hari ini.
Sejajar dengan semakan semula itu, MIDF Research menyemak turun harga sasaran Hartalega kepada RM2.58 daripada RM3.09 sesaham sebelum ini.
Sebaliknya, ia mengekalkan pandangan 'neutral', memandangkan kedudukan kunci kira-kiranya yang kukuh membentuk 25.6% daripada permodalan pasarannya dalam tunai bersih, boleh memberikan perlindungan terhadap ketidaktentuan pasaran.
Baca : Untung bersih Hartalega bagi 1QFY23 merudum kepada RM88.28 juta daripada RM2.26 bilion
Sementara itu, Kenanga Research turut menurunkan harga sasaran Hartalega kepada RM2.80 daripada RM2.90 sesaham sebelum ini dengan pandangan 'market perform' dikekalkan.
Firma itu menjangkakan ASP akan terus melemah pada separuh kedua ini ekoran pengembangan kapasiti secara besar-besaran oleh pemain industri sedia ada dan penyertaan syarikat baharu ketika tempoh pandemik.
Ia menganggarkan kapasiti pembuatan sarung tangan getah melonjak 22% kepada 511 bilion keping pada tahun ini dan terus meningkat 16% kepada 595 bilion keping pada 2023.
"Dengan lebih banyak negara keluar daripada pandemik, kami mengunjurkan permintaan global untuk sarung tangan getah berkurangan sebanyak 10% pada 2022 kepada 387 bilion keping.
"Ini akan mengakibatkan lebihan bekalan sebanyak 124 bilion keping (dengan andaian, secara hipotesis, penggunaan kapasiti adalah dimaksimumkan)," jelasnya.
Berdasarkan anggaran Kenanga Research, situasi permintaan bekalan hanya akan mula menuju ke arah keseimbangan pada 2025 apabila hampir tiada lagi kapasiti baharu akan datang sementara permintaan global untuk sarung tangan terus meningkat sebanyak 15% setahun disokong oleh peningkatan kesedaran terhadap kebersihan.
"Oleh itu, kami mengurangkan unjuran untung bersih bagi FY23 sebanyak 8% memandangkan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dikurangkan kepada 17% daripada 18%," katanya.
Pada masa sama, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research turut menyemak turun harga sasaran Hartalega kepada RM1.92 daripada RM2.37 sesaham sebelum ini dengan mengekalkan saranan 'jual' terhadap sahamnya.
"Kami turut mengurangkan unjuran untung bersih bagi FY23 hingga FY24 sebanyak 18% hingga 24%, kerana kami mengurangkan kadar penggunaan bagi tempoh itu kepada 63% dan 73% (daripada 78% bagi Fy23 dan FY24 sebelum ini)," katanya.
Firma itu memberi amaran bahawa Hartalega mungkin berisiko terkeluar daripada konstituen KLCI dalam semakan separuh tahunan FTSE Bursa Malaysia KLCI yang akan datang sekiranya harga sahamnya terus merosot, kerana ia kini berada di tempat ke-35 (berdasarkan penutupan 9 Ogos).
"Mengikut peraturan asas indeks, konstituen berpotensi dialih keluar daripada indeks jika ia jatuh di bawah tempat ke-35. Penjualan mungkin dicetuskan jika perubahan konstituen menjadi kenyataan," jelasnya.
Setakat 9.23 pagi ini, Hartalega berada dalam kalangan kaunter utama yang mencatat kerugian dengan harga sahamnya susut 11 sen atau 3.93% kepada RM2.69 dengan 1.49 juta saham diniagakan. - DagangNews.com