Pengasas Universiti Limkokwing meninggal dunia | DagangNews Skip to main content

Pengasas Universiti Limkokwing meninggal dunia

 

 

KUALA LUMPUR 1 Jun - Tokoh pendidikan negara terutama dalam bidang kreatif dan inovasi, Tan Sri Lim Kok Wing meninggal dunia di Hospital Pantai, hari ini pada usia 75 tahun.

 

Mendiang lebih dikenali sebagai Pengasas dan Presiden Universiti Limkokwing.

 

Dalam kenyataan hari ini, Universiti Limkokwing menyifatkan mendiang banyak berbakti dalam pendidikan inovatif di peringkat global.

 

"Dengan rasa dukacita, kami ingin memaklumkan pemergian presiden dan pengasas kami, Prof. Emeritus Tan Sri Datuk Sri Paduka Dr Lim Kok Wing.

 

"Seorang yang berwawasan, kerjaya mendiang amat sinonim dengan bidang kreativiti. 

 

"Bahkan, beliau banyak membantu dalam mengembang dan memperkasa pendidikan inovatif di peringkat global, terutama negara membangun," katanya.

 

Pihak universiti turut menyatakan terima kasih kepada semua pihak yang merakamkan takziah kepada keluarga mendiang dan meminta ruang diberi untuk mereka.

 

Selama bertahun-tahun, Universiti Limkokwing mendapat pengiktirafan global dan melebarkan sayapnya ke seluruh pelusuk dunia. 

 

Selain kampus utama di Cyberjaya, ia mempunyai cawangan di Sarawak, Kemboja, Bostwana, Sierra Leone dan United Kingdom. - DagangNews.com