Pengecualian SST kekal berakhir 30 Jun 2022, tempoh pendaftaran JPJ dilanjutkan ke 31 Mac 2023 | DagangNews Skip to main content

Pengecualian SST kekal berakhir 30 Jun 2022, tempoh pendaftaran JPJ dilanjutkan ke 31 Mac 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Jun - Kerajaan mengambil keputusan mengekalkan tempoh akhir pengecualian cukai jualan kenderaan (SST) pada 30 Jun 2022 namun melanjutkan tempoh pendaftaran kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga 31 Mac 2023.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, lanjutantempoh pendaftaran kenderaan ini merupakan satu penyelesaian titik tengah  (midpoint solution) bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu ditingkatkan semula pasca-pandemik bagi memastikan kebajikan rakyat dan kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara.

 

Beliau berkata, bagaimanapun terdapat sejumlah permintaan yang masih belum dapat dipenuhi ekoran gangguan rantaian bekalan global.

 

"Pada masa yang sama, seluruh dunia sedang menghadapi masalah kekurangan cip mikro semikonduktor yang digunakan secara meluas merentas beberapa industri termasuk industri automotif. 

 

"Berikutan permasalahan ini, sebanyak 264,000 unit kenderaan yang ditempah di dalam tempoh pengecualian ini masih belum siap pemasangan dan  tidak dapat dibekalkan kepada pembeli," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sebelum ini, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) memohon kerajaan agar melanjutkan lagi tempoh Pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan berakhir hujung Jun 2022.

 

zafrul
Tengku Datuk Seri Zarul Abdul Aziz

 

MAA memohon agar lanjutan itu diteruskan bagi tempoh enam bulan lagi sehingga 31 Disember 2022.

 

Tengku Zafrul berkata, bagi mengekalkan momentum permintaan dan jualan kenderaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19, kerajaan sebelum ini memperkenalkan pengecualian sepenuhnya cukai jualan ke atas kenderaan penumpang (termasuk MPV dan SUV) pemasangan tempatan.

 

Selain itu, kerajaan juga memberikan potongan 50% cukai jualan ke atas kenderaan import (CBU) sejak 15 Jun 2020 dan akan berakhir pada 30 Jun 2022. 

 

"Setakat ini, sebanyak 868,422 unit kenderaan telah terjual dan rakyat telah mendapat manfaat pengecualian cukai jualan berjumlah RM4.7 bilion," katanya. - DagangNews.com