Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 23 Nov - Unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi tahun ini disemak semula lebih tinggi pada 500,000 unit berbanding 480,000 unit sebelum ini berikutan prestasi Oktober yang baik.
Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jualan kenderaan di Malaysia meningkat kepada 63,489 unit pada Oktober lalu berbanding 57,695 unit pada bulan sama tahun lalu.
Malah, jualan kenderaan penumpang melonjak kepada 56,881 unit pada Oktober 2021 daripada 52,806 unit pada Oktober 2020, manakala jualan kenderaan komersial meningkat kepada 6,608 unit daripada 4,889 unit.
Dari segi perbandingan bulan sebelumnya, jumlah jualan untuk Oktober lalu juga meningkat 43% daripada 44,275 unit pada September 2021 disebabkan pengeluaran dan penghantaran dilaksanakan semula oleh syarikat kereta.
Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Daniel Wong berkata, TIV dijangka kekal tinggi sehingga akhir tahun ini memandangkan pengeluar produk tulen (OEM) akan mengekalkan pengeluaran mereka bagi memenuhi tempahan yang tertunggak dan jualan akhir tahun.
"Pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dilanjutkan sehingga 30 Jun 2022 juga memberi banyak kelonggaran kepada industri untuk merancang barisan pengeluaran mereka dengan lebih baik dalam tempoh yang panjang.
"Ini memandangkan permintaan masih kekal kukuh, manakala bekalan pula berdepan kekangan akibat kekurangan bekalan mikrocip di peringkat global yang masih berterusan dalam tempoh terdekat," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagaimanapun, di sebalik pemulihan TIV yang kukuh pada suku keempat ini, firma tu masih mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor automotif.
Ini kerana menurut Wong, TIV dijangka menurun selepas lanjutan pengecualian SST tamat pada pertengahan tahun depan dan juga masalah kekurangan bekalan mikrocip.
"Namun begitu, kami menasihati pelabur supaya mengumpulkan saham MBM Resources Bhd. dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM4.80 dan DRB-Hicom (beli, TP : RM2.30) memandangkan kami menjangkakan OEM negara akan berjaya dalam tempoh jangka panjang dengan potensi pertumbuhan daripada pasaran eksport baharu," jelasnya.
Di samping itu, firma tersebut juga memberi saranan 'beli' terhadap Sime Darby dengan TP RM2.68 berikutan kedudukan imbangan tunai yang kukuh dan mendapat kelebihan daripada pasaran China yang kembali pulih. - DagangNews.com