Pengedar LPG di Sarawak dikecualikan lesen Kerajaan Persekutuan | DagangNews Skip to main content

Pengedar LPG di Sarawak dikecualikan lesen Kerajaan Persekutuan

Sarawak

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Jun - Pengedar Gas Petroleum Cecair (LPG) di Sarawak diberi pengeculian daripada memohon kebenaran dan lesen daripada Kerajaan Persekutuan bagi pengedaran LPG di negeri berkenaan bermula 1 Jun 2021.

 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Majlis Khas Bagi Menyemak Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) pada 13 April 2021.

 

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dihadiri oleh Ketua Menteri Sarawak, Ketua Menteri Sabah serta Menteri-Menteri Persekutuan.

 

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi.

 

"Mesyuarat Majlis Khas tersebut telah bersetuju supaya pengecualian diberikan kepada pemegang-pemegang Lesen Distribution of Gas Ordinance (DGO) yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak daripada keperluan mendapatkan Kebenaran PDA di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) dan Lesen CSA di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (CSA). 

 

"Pada masa ini, kawal selia bagi kedua-dua kebenaran dan lesen tersebut terletak di bawah KPDNHEP.

 

"Selaras dengan persefahaman supaya Sarawak mengawalselia sendiri tadbir urus industri hiliran gas serta untuk meningkatkan ease of doing business, Kerajaan Persekutuan telah memutuskan supaya pengecualian daripada memperoleh Kebenaran PDA dan Lesen CSA diberikan kepada pemegang lesen DGO di Sarawak," jelas beliau.

 

Dengan pengecualian berkenaan, pemborong dan peruncit LPG di Sarawak hanya memerlukan lesen DGO sahaja daripada Kementerian Utiliti Sarawak dan tidak lagi perlu memohon Kebenaran PDA dan Lesen CSA daripada KPDNHEP. 

 

Tambah beliau, pelaksanaan pengecualian itu diharap akan meningkatkan keberkesanan operasi dan aktiviti pengedaran LPG di negeri berkenaan.

 

"KPDNHEP sentiasa komited dan sedia bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dan Sabah dalam usaha merancakkan aktiviti perdagangan domestik bagi meningkatkan ekonomi Sabah dan Sarawak khususnya serta Malaysia secara amnya," ujar beliau lagi. - DagangNews.com