Pengeluaran buah tandan segar Hap Seng Plantations diunjur meningkat 15% pada FY23 - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran buah tandan segar Hap Seng Plantations diunjur meningkat 15% pada FY23 - AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Nov - AmInvestment Bank Research mengunjurkan pengeluaran buah tandan segar (BTS) bagi Hap Seng Plantations Holdings Berhad meningkat sebanyak 15% pada FY23 selepas mencatatkan penurunan selama tiga tahun berturut-turut.

 

Firma penyelidikan itu juga percaya bahawa kumpulan itu tidak berdepan sebarang isu besar terhadap cuaca di Sabah buat masa sekarang.

 

"Kami merasakan peningkatan pengeluaran BTS kumpulan itu berbanding pesaingnya kerana mereka tidak berdepan masalah kekurangan tenaga kerja yang ketara dan mereka tidak perlu mengambil pekerja baharu.

 

"Pengambilan pekerja baharu memerlukan masa antara tiga ke enam bulan bagi melatih pekerja untuk menuai pokok kelapa sawit," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

AmInvestment berkata, di sebalik pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang lebih kukuh dan kos baja yang lebih rendah, mereka menganggap bahawa keuntungan bersih kumpulan itu akan pulih pada 2HFY23. Harga baja global telah jatuh antara 30% hingga 50% daripada puncak.

 

Sebelum ini untung bersih Hap Seng menjunam sebanyak 78.1% kepada RM32.8 juta pada 1HFY23 dan firma itu menjangkakan perbelanjaan modal mereka sebanyak RM65 juta pada FY23.

 

"Sebahagian besar belanjawan itu adalah bagi penanaman semula pokok kelapa sawit yang sudah tua dan penyelenggaraan jalan.

 

"Walaupun kumpulan itu sedang membina loji biogas ketiganya, sebahagian besar perbelanjaan hanya akan ditanggung pada FY24. Loji biogas itu dianggarkan menelan belanja RM20 juta secara keseluruhan," katanya.

 

Kumpulan itu bagaimanapun, telah mencapai sasaran penanaman semula FY23 sebanyak 829 hektar, 2% daripada kawasan tanaman kumpulan seluas 35,000 hektar.

 

"Kami menganggarkan kos penanaman semula sehingga matang antara RM20,000 hingga RM25,000 bagi sehektar," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) RM2.15 sesaham," katanya.- DagangNews.com